Perodua telah melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila menerima anugerah emas dalam kategori automotif dalam majlis Anugerah Jenama Putra 2019 yang berlangsung baru-baru ini. Ia merupakan tahun ketiga berturut-turut pengeluar kenderaan tersebut dinamakan sebagai salah satu jenama automotif kegemaran Malaysia.
“Kami berasa rendah diri dengan pengiktirafan rakyat Malaysia terhadap jenama kami. Pengiktirafan ini memotivasikan dan menggalakkan kami untuk bekerja lebih keras seiring dengan objektif utama kami, iaitu People First, yang mengutamakan keperluan dan kehendak rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Anugerah Jenama Putra mengiktiraf jenama-jenama kegemaran Malaysia berdasarkan wawancara awam, melibatkan lebih 8,000 responden unik tahun ini. Dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), ia merupakan satu-satunya anugerah jenama di negara ini yang diperakui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Perodua jauh lebih daripada sekadar sebuah syarikat kenderaan. Daripada pelbagai program dianjurkan merangkumi keselamatan, kesihatan, alam sekitar, pendidikan, belia, sukan dan aktiviti amal, kepada inisiatif-inisiatif kepuasan pelanggan serta pembangunan modal insan, para pembekal dan pengedar, kami ingin menjadi jenama yang mampu memberi kesan positif dan nyata kepada rakyat Malaysia,” sambung Dato’ Zainal.
Perodua turut pernah memenangi anugerah dalam sembilan daripada 10 tahun majlis penganugerahan tersebut diadakan. Jenama automotif ini telah memenangi emas pertamanya pada 2017 dan disusuli emas keduanya pada tahun lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.