Jika tiga minggu berturut-turut sebelum ini, petrol RON97 dilaporkan naik harga, tapi untuk minggu baharu bertarikh 5 hingga 11 Oktober ini, bahan api itu disahkan turun harga sebanyak 19 sen seliter. Mulai 12 tengah malam ini, harga bagi petrol RON97 menjadi RM2.60 seliter, berbanding RM2.79 seliter pada minggu sebelumnya.

Manakala petrol RON 95 pula akan terus dijual pada harga tetap bersubsidi RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan, tanpa bergantung kepada harga apungan dalam pasaran.

Begitu juga dengan diesel Euro 2M, di mana ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.

Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit bagi petrol RON 95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak masing-masing RM2.30 seliter dan RM2.34 seliter. Ini menunjukkan penurunan dari minggu lepas bagi harga runcit petrol RON 95 yang berada pada paras RM2.49 seliter dan diesel pula RM2.39 seliter.

Namun harga runcit bagi dua bahan api berkenaan dikekalkan selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum demi kesejahteraan rakyat.

Dengan pengekalan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 5 hingga 11 Oktober 2019 adalah berjumlah RM101.52 juta.