Seperti edisi-edisi Tokyo Motor Show (TMS) terdahulu, Daihatsu akan hadir ke acara sama tahun ini dengan pelbagai model-model konsep. Untuk TMS 2019, Daihatsu bukan sahaja tampil dengan rekaan yang funky, malah dinamakan dengan nama-nama yang comel. Empat model konsep akan membuat kemunculan iaitu crossover-Kei Waku Waku, MPV enam-tempat duduk Wai Wai, kereta autonompus Ico Ico dan trak kecil Tsumu Tsumu.

Kita mulakan dengan Waku Waku. Crossover dengan had dimensi sebuah K-Car Jepun ini diberikan elemen berkotak, bersama rupa lasak menerusi pemadanan kemasan seperti ruang roda plastik berwarna gelap, bampar berwarna perak serta kemasan oren pada panel dalaman pintu, perehat badan pada tempat duduk dan lantai but.

Waku Waku turut diberikan bumbung yang boleh dibuka bagi memberikan ruang storan lebih besar, manakala serlahan oren turut diberikan pada rim serta bampar hadapan dan belakang.

Pada bahagian dalaman pula, crossover kecil ini diberikan kemasan hitam dengan serlahan oren metalik. Pemandu diberikan papan instrumen digital tetapi dengan meter-meter yang kelihatan seperti analog. Manakala skrin tengah pula bukan saja bertindak sebagai unit infotainmen dan sistem navigasi, malah ia turut menempatkan kawalan sistem pendingin hawa.

Beralih ke Wai Wai, ia juga masih sebuah model kompak, dan apa yang menarik Wai Wai diberikan tiga baris tempat duduk yang boleh membawa enam-orang dalam satu-satu masa. Bagi memudahkan akses ke kabin, kedua-dua sisi menerima pintu gelangsar di belakang, tanpa tiang yang memisahkan pintu hadapan dan belakang. Bumbung MPV ini pula diberikan kanvas yang boleh dibuka/tutup secara gelangsar.

Wai Wai diberikan tempat duduk yang agak ‘nipis’ bagi memberikan ruang penumpang yang lebih luas, dan ia juga boleh dilipat bagi memuatkan kargo yang lebih besar. MPV konsep skrin sepanjang papan pemuka, tetapi masih kelihatan minimalis dengan segala butang kawalan lain disatukan dengan panel yang bersambung dengan kolum stereng.

Untuk Ico Ico pula, ia adalah kereta pemanduan automous kecil dengan rupa seakan bas mini, yang dibina sebagai pengangkutan untuk masyarakat bagi melalui jalan dan ruang yang kecil, sesuai untuk kawasan bandar yang padat. Ico Ico hadir dengan empat tempat duduk, lengkap dengan ramp yang boleh disimpan semula bagi memudahkan anda membawa naik barang mahupun bagi akses kerusi roda untuk orang kurang upaya.

Selain dari boleh bergerak tanpa pemandu, Ico Ico turut mempunyai robot kecerdasan buatan (A.I) bernama Nippote yang akan melayan penumpang di dalamnya.

Yang terakhir adalah trak Tsumu Tsumu, yang kelihatan seperti sebuah trak-Kei. Tsumu Tsumu direka dengan kabin yang diletakkan dua tempat duduk dan ia diposisikan betul-betul di atas tayar hadapan bagi membolehkan ruang kargo direka lebih luas. Ruang belakang trak kecil ini direka bagi membolehkan ia tampil dengan pelbagai konfigurasi bagi pelbagai aplikasi perniagaan yang berbeza.

Bahagian kargo berkenaan dilihat boleh digelangsarkan ke belakang, manakala di atasnya mempunyai platform yang membolehkan dron disimpan berlepas dan mendarat.

Kabin juga bukan sekadar untuk menempatkan pemandu dan penumpang. Kedua-dua tempat duduk boleh dilipat bagi digunakan sebagai meja, manakala perehat badan yang juga nipis membolehkan ruang belakangnya dijadikan sebagai ruang storan tambahan. Panel dinding pada kabin ini juga dihasilkan seperti pintu yang dibuka terbalik, memberikan akses yang lebih mudah, serta turut diberikan rak penyimpanan bagi meletakkan lebih banyak lagi barangan.

Tsumu Tsumu tampil dengan papan pemuka dengan gaya lasak. Pemandu diberikan papan instrumen digital yang lebar, bersama tuil gear yang diletakkan disebelahnya. Ia dilengkapkan dengan roda stereng dengan jejari yang hanya menampung bahagian kanan dan bawah, sementara di sebelah kiri diletakkan suis putar.

Daihatsu tidak memperincikan unit janakuasa untuk kesemua model konsep ini. Namun seperti yang diketahui, Ico Ico adalah kenderaan elektrik sepenuhnya, dan takometer dengan julat sehingga 8,000 rpm pada Tsumu Tsumu dan Waku Waku mungkin petunjuk bahawa ia dijana oleh enjin petrol.

Waku Waku juga mungkin diberikan sistem hibrid di mana pada tuil penukar gearnya terdapat posisi ‘B’ pada bawah sekali untuk pemulihan kuasa. Manakala untuk Wai Wai, ia masih belum jelas sama ada dijana enjin petrol, hibrid ataupun elektrik sepenuhnya.