BMW kini ada tambahan terbaru kepada barisan kenderaan 2 Series keluarannya, dikenali sebagai BMW 2 Series Gran Coupé F44. Jangan keliru; BMW 2 Series biasa, sebagai sebuah coupe dua-pintu kecil, merupakan jentera pacuan roda belakang. Namun, versi Gran Coupé terbaru ini, berserta model MPV Active Tourer dan Gran Tourer dalam barisan yang sama menggunakan pacuan roda depan.

Model ini merupakan pesaing yang lebih tepat untuk Mercedes-Benz CLA, walaupun sebenarnya ia sedikit lebih kecil. Dengan ukuran dimensi 4,526 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,420 mm tinggi, versi Gran Coupe ini 162 mm lebih pendek, 30 mm lebih sempit dan 19 mm lebih rendah. Jarak antar rodanya pula ialah 2,670 mm, 59 mm lebih pendek berbanding pesaing sama. Ruang barangan juga lebih kecil; 430 liter berbanding 460 liter.

Bagaimanapun, model BMW ini mempunyai penampilannya yang tersendiri. Secara keseluruhan, ia sarat dengan sentuhan sporty yang agak agresif. Dengan rekaan yang gril relatif besar, imej dari bahagian belakangnya lebih garang dan menarik, antaranya disebabkan rekaan lampu belakang yang panjang melintang. Lampu utama dan lampu belakangnya dengan rekaan khusus adalah dari jenis LED.

Di dalam, Gran Coupe berkongsi asas rekaan yang sama dengan 1 Series. Rekaan umumnya lebih bersegi, dengan kemasan warna perak. Ditawarkan sebagai pilihan ialah lampu suasana di sepanjang papan pemuka serta panel pintu, dengan skrin sentuh utama bersaiz 10.25-inci menggunakan perisian
BMW Operating System 7.0 terkini.

Berbanding dengan versi coupe dua-pintunya, Gran Coupe empat-pintu ini sedikit lebih luas dengan tambahan 33 mm ruang kaki. Walaupun tempat duduk 12 mm lebih tinggi, ruang kepala tetap menerima tambahan 14 mm. Ruang but juga 40 liter lebih luas, dengan penyandar kerusi belakang boleh dilipat mengikut nisbah 40:20:40:.

Ciri tambahan juga menerima pertambahan pada model ini, termasuk kawalan suara Intelligent Personal Assistant dan Digital Key yang membolehkan telefon Samsung terpilih digunakan untuk membuka dan menghidupkan kenderaan. Sudut keselamatan, di Eropah, kereta ini datang ciri brek kecemasan autonmous (AEB) sebagai standard.

Sebagai pilihan pula turut ditawarkan pakej Driving Assistand dengan ciri bantuan mengekalkan lorong, amaran pra-perlanggaran, amaran trafik serta kawalan malayar adaptif serta Parking Assistant. Kerangka kereta ini pula dibina menggunakan campuran logam da alumimium kukuh untuk mengurangkan beratnya. Pilihan suspensi terdiri daripada M Sport standard – yang 10 mm lebih rendah berbanding jenis pasifnya – serta penyerap hentak adaptif. Gran Coupe turut dilengkapi dengan sistem ARB, sebuah sistem kawalan cengkaman yang lebih canggih.

Antara lain, model ini turut dipasangkan dengan ciri torque vectoring dengan cara membrek BMW Performance Control serta Electronic Differential Lock Control (EDLC). Tidak lupa sebagai pilihan ialah sistem pacuan semua roda xDrive pada beberapa varian.

Versi paling asas model ini menggunakan enjin B38 1.5 liter tiga-silinder dari 218i, yang kini lima kilogram lebih ringan dan peningkatan janaan, menghasilkan 140 hp pada 4,500 rpm hingga 4,600 rpm, dan 220 Nm tork dari 1,480 hingga 4,200 rpm. Gesaan tambahan sebanyak 10 Nm dihantar dalam kedudukan gear keempat dan lebih tinggi.

Ia mempunyai kepantasan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat dengan kelajuan maksimum 215 km/j. Kadar penggunaan minyak pula sekitar 5.0 liter dan 5.7 liter bagi setiap 100 km. Ini dipandankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, dengan pilihan untuk transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

Khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, varian 228i xDrive dengan enjin 2.0 liter empat-silinder janaan 231 hp/350 Nm turut ditawarkan. Versi diesel, 220d dengan 2.0 liter turbo berkembar dengan janaan 190 hp/400 Nm juga ada. Model ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan laju maksimum 235 km/j. Varian paling lengkap pula ialah M235i xDrive; ia menggunakan enjin B48 2.0 liter dengan janaan 306 hp antara 5,000 rpm dan 6,250 rpm, manakala tork pula sebanyak 450 Nm dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm – 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dengan laju maksimum 250 km/j.