McLaren Elva – kuasa 815 PS, cermin depan jual asing

McLaren Elva – kuasa 815 PS, cermin depan jual asing

Ini adalah Elva, kereta keluaran McLaren yang didakwa sebagai kereta jalanan mereka yang paling ringan, dan juga kereta jalanan dengan kokpit terbuka yang pertama keluaran mereka. Elva dibina atas casis dan badan gentian karbon khas, dan tidak mempunyai bumbung, cermin hadapan serta tingkap. Satu-satunya cara untuk melindungi anda daripada angin dan elemen luar lain semasa memandu adalah pengurusan angin yang tersendiri.

Nama Elva itu datang daripada McLaren-Elva M1A, yang merupakan sebuah kereta lumba dengan berat hanya 551 kg, dan digunakan dalam perlumbaan Canadian Sports Car Grand Prix pada tahun 1964. Gelaran sebagai kereta jalanan McLaren paling ringan mungkin membawa makna Elva baru ini lebih ringan daripada McLaren F1 yang mencatat 1,138 kg, tetapi McLaren sendiri masih tidak mendedahkan beratnya yang sebenar.

Elva menggunakan enjin yang sama seperti Senna dan Senna GTR (kegunaan litar sahaja), iaitu unit V8 4.0 liter biturbo. Kalau dibandingkan dengan Senna, Elva tidak mempunyai banyak panel aerodinamik yang menghaslikan daya tolakan ke bawah (downforce), tetapi ia menggunakan Active Air Management System (AAMS), yang dikatakan oleh McLaren sebagai pertama di dunia.

McLaren Elva – kuasa 815 PS, cermin depan jual asing

Sistem ini menyampaikan udara melalui bahagian hadapan Elva untuk keluar ke bahagian atas pada halaju tinggi, dan melalui bahagian atas kokpit untuk menghasilkan gelembung yang tenang pada kabin. Pada bahagian atas bonet terdapat panel gentian karbon yang boleh naik dan turun untuk menghasilkan zon tekanan rendah. Membantu lagi sistem AAMS ini, radiator diletakkan di hadapan roda depan.

Walaubagaimanapun, Elva masih didatangkan dengan pilihan cermin hadapan, dan diberitahu telah lulus proses homologasi untuk pelbagai pasaran utama. Enjinnya boleh menghasilkan 815 PS dan 800 Nm tork, sekaligus mampu memberikan prestasi 0-100 km/j dalam masa bawah tiga saat dan 0-200 km/j dalam masa 6.7 saat. Ini adalah lebih pantas berbanding Senna biasa.

Kuasa daripada enjin ini disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan, manakala suspensi pula diambil daripada kereta Super Series dan Ultimate Series, dengan unit sambungan hidraulik dan perisian khas untuk injap penyerap dan spring.

McLaren Elva – kuasa 815 PS, cermin depan jual asing

Kesemua roda Elva dipasang dengan brek cakera sintered carbon-ceramic berukuran 390 mm yang lebih kuat dan mudah sejuk, sementara stereng pula menggunakan bantuan electro-hydraulic. Suis pilihan mod diletakkan lebih dekat pada pedal penukar gear di stereng, sekaligus pemandu tidak perlu mengalihkan tangan jika mahu menukarnya. Sebagai tambahan kepada Variable Drift Control, pemandu juga boleh melaras tiga tahap kawalan cengkaman.

Skrin sesentuh lapan inci yang terletak di tengah papan pemuka bertindak sebagai hab untuk semua fungsi kenderaan, sementara sistem infotainmen pula telah dikemas kini untuk membolehkan penggunaan beberapa aplikasi pada masa sama seperti navigasi, telemetri litar, kamera undur serta kawalan pendingin hawa.

Pengeluaran Elva yang juga adalah roadster Ultimate Series pertama bagi McLaren adalah terhad kepada 399 unit sahaja dan ia dijual pada harga bermula £1,425,000 (RM7,610,226) tidak termasuk barangan pilihan dan pelbagai cukai lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required