Pengeluar barangan-barangan keselamatan perlumbaan dari Itali, OMP Racing mengumumkan bahawa mereka telah membeli dan kini memiliki jenama helmet ikonik Amerika – American Bell Racing.

“Ini merupakan pembelian paling penting dalam sejarah OMP selama 46-tahun, dan ini menandakan satu revolusi dalam lapangan kelengkapan keselamatan sukan permotoran. OMP dan Bell adalah dua jenama ikonik yang kaya dengan sejarah inovasi,” kata CEO dan Presiden serta CEO untuk kedua-dua jenama yang telah disatukan ini, Paolo Delprato.

Walaupun kini kedua-dua jenama berkenaan bernaung di bawah satu payung, masih belum ada perubahan operasi diumumkan. Ibu pejabat dan fasilit R&D OMP di Ronco Scrivia, Genoa, Itali serta fasiliti OMP America di Miami dan Florida akan beroperasi seperti biasa.

Begitu juga fasiliti R&D dan produksi Bell di Sakhir, Bahrain serta Bell Racing Amerika di Illinois; Speedway, Indiana; dan Mooresville, North Carolina juga tiada apa-apa perubahan operasi. Ini bermakna penyatuan dua jenama tersebut tidak menjejaskan tenaga kerja mereka.

Bell Racing terkenal dengan pengeluaran helmet perlumbaan dan barangan-barangan keselamatan lain terutamanya untuk penunggang-penunggang motosikal. OMP Racing pula lebih menyerlah dalam dunia perlumbaan empat roda dengan kelengkapan seperti suit perlumbaan, tempat duduk, roda stereng, tali pinggang keselamatan dan banyak lagi.