Tata Nexon EV 2020 – SUV elektrik penuh bermula RM87k di India – 129 PS/245 Nm, jarak gerak 300 km

Tata Nexon EV 2020 – SUV elektrik penuh bermula RM87k di India – 129 PS/245 Nm, jarak gerak 300 km

Tata, jenama automotif dari India telah mendedahkan model baharunya di negara tersebut iaitu sebuah SUV segmen-B yang dijana sepenuhnya menggunakan bateri elektrik, digelar sebagai Nexon EV. Model yang dijana oleh teknologi Ziptron terbaharu mereka itu dijual dalam tiga varian iaitu XM, XZ dan Lux, dijual pada harga bermula 15 Lakhs (1.5 juta rupee atau RM87k) hingga 17 Lakhs (1.7 juta rupee atau RM99k).

Nexon EV dihasilkan dengan dimensi 3,994 mm panjang, 1,811 mm lebar, 1,607 mm tinggi dengan jarak kelegaan tanah 205 mm, serta jarak roda 2,498 mm, bersama berat keseluruhan 1,400 kg. Bagi memudahkan untuk dibayangkan, SUV elektrik Tata ini adalah 340 mm lebih pendek, 21 mm lebih lebar dan 110 kg lebih berat dari Honda HR-V RS.

Model ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 129 PS/245 Nm yang menerima kuasa dari bateri lithium-ion 320-volt dan 30.2 kWh yang didakwa Tata kalis air dan kalis debu dengan standard IP67. Tidak seperti kenderaan elektrik lain yang tidak mempunyai transmisi, Nexon EV diberikan kotak gear satu-kelajuan dengan nisbah akhir 9.1 yang akan mengalirkan kuasa putaran dari motor ke roda hadapan.

Ini membolehkan SUV tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat, manakala jarak geraknya pula adalah 300 km dengan satu cas bateri penuh. Dengan teknologi Ziptron, membolehkan fungsi cas cepat turut ditawarkan.

Tata Nexon EV 2020 – SUV elektrik penuh bermula RM87k di India – 129 PS/245 Nm, jarak gerak 300 km

Menurut Tata, ia hanya memerlukan masa 60 minit untuk menegcas bateri dari kosong sepenuhnya sehingga 80% menerusi sambungan IEC 62196 Type 2 dengan teknologi berkenaan. Ia turut boleh dicas menggunakan soket domestik 15A, tetapi perlu mengambil masa sehingga lapan jam bagi mengecas dari kadar 20% hingga 100% (sekitar 10% sejam). Pengecas AC onboard 3.3 kW pula dibekalkan secara standard.

Untuk pemanduan, Nexon EV turut dibekalkan dengan mod pemanduan Drive dan juga Sport, disamping bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Mendaki dan Menurun Bukit, serta fungsi regenerative braking, Smart Regen dan Creep iaitu sistem yang membolehkan pemandu lebih relaks ketika ‘merangkak’ dalam kesesakan lalu lintas.

Bagi anda yang belum mengetahui, Tata kini adalah pemilik Jaguar Land Rover, dan jangan pelik mengapa rekaan SUV ini mempunyai sedikit ‘perisa British’. Secara keseluruhan Nexon menerapkan rekaan signatur terkini Tata yang digelar Impact Design 2.0.

Pada bahagian hadapan, ia menerima gril hadapan yang seolah-olah bersepadu dengan kedua-dua lampu depan projektor, yang turut menempatkan lampu nyalaan siang LED di dalamnya. Manakala pada gril bampar pula, ia diberikan elemen ‘Tri-Arrows’, yang juga kini adalah salah satu rekaan signatur Tata terkini.

Tata Nexon EV 2020 – SUV elektrik penuh bermula RM87k di India – 129 PS/245 Nm, jarak gerak 300 km

Nilai agresif muka Nexon ini turut ditambah menerusi rekaan perumah lampu kabus berbentuk-C dan juga kemasan skid plate pada bahagian bawah. Nexon diberikan rim aloi dua-tona (hanya rim besi untuk model asas) bersaiz 16-inci. Dan bagi membezakannya dari versi enjin pembakaran dalaman, ia menerima jalur biru sepanjang cermin tingkat sisi.

Jalur-jalur biru berkenaan turut diberikan pada kemasan dalaman seperti pada kluster instrumen, liang pendingin hawa dan juga sekeliling ruang storan konsol terowong. Skrin berdiri sendiri diletakkan pada tengah papan pemuka, berfungsi untuk sistem infotaimen yang turut menyokong fungsi Android Auto, Apple CarPlay serta navigasi GPS.

Selain itu, pemain utama berkenaan turut mempunyai fungsi arahan menggunakan suara, pembaca SMS, dan ia dihubungkan kepada sistem bunyi Harman dengan empat pembesar suara serta empat tweeter. Ciri lain pada bahagian dalam Nexon EV ini termasuk soket pengecas cepat, butang penghidup, corong pendingin hawa belakang, tailgate berkuasa, bumbung suria (model tertinggi sahaja) dan glove box dengan pendingin.

Manakala untuk keselamatan pula, ia hadir dengan sistem brek ABS dan EBD, dua beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, lampu membelok dan kawalan kestabilan membelok. Roda hadapan diberikan sistem brek cakera, manakala di belakang masih menggunakan sistem jenis dram.

Nexon EV ini juga dilengkapi sistem terhubung, dengan fungsi 35 aplikasi mudah alih, seperti arahan jarak jauh, pengesan kenderaan, analitik pemanduan, dan diagnostik jarak jauh. Dengan aplikasi ZConnect, pemandu boleh mencari pusat mengecas paling hampir, menjejak lokasi kenderaan dan menetapkan had laju.

Menurut Tata Motors, pengguna tidak perlu gusar terhadap SUV elektrik ini kerana Nexon EV telah diuji sejauh satu juta kilometer dan dipandu merentas permukaan dan cuaca paling lasak di India, termasuk kawasan tanah tinggi, jalan tidak diturap, dan juga jalan-jalan dengan sudut yang curam. Tempahannya sudah dibuka, tetapi pembeli pertama hanya akan menerima kereta mereka pada Januari 2020 nanti.

Tidak cukup dengan dakwaan, Tata turut menawarkan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km untuk bateri dan motor elektrik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required