Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

Semasa pameran Consumer Electronics Show (CES) 2020 di Las Vegas, Sony telah membuat kejutan dengan memperkenalkan kereta konsep sendiri, dipanggil sebagai Vision-S, yang menggunakan teknologi pengesan dan pengimejan mereka. Melalui teknologi Artificial Intelligence (A.I), telekomunikasi dan pengkomputeran yang dimiliki pula, kenderaan ini boleh bertambah maju lagi di masa hadapan.

Menurut Sony, Vision-S menampilkan konsep zon selamat aktif ‘Safety Cocoon’ dengan mengesan situasi sekitar bagi mengelak risiko lebih awal. Ia diperolehi melalui pemasangan 33 pengesan gred automotif pada bahagian luar kenderaan manakala di dalam pula terdapat 12 kamera, 17 pengesan radar dan ultrasonic, serta tiga pengesan lidar.

Ini membolehkan kereta tersebut mengesan keadaan trafik secara 360 darjah, serta memberikan ciri bantuan memandu yang bersamaan dengan Level 2 seperti Advanced Cruise Control, letak kenderaan sendiri, serta tukar lorong automatik. Tambah Sony, perisian sistem ini boleh dikemas kini dan ditambah lagi sehingga mencapai tahap pemanduan autonomous Level 4.

Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

Cermin sisi serta cermin pandang belakang pada kenderaan ini diganti dengan kamera dan skrin paparan, dan ia boleh dilaras mengikut kegemaran pemandu. Sebagai contoh, skrin yang memaparkan pandangan belakang juga boleh memaparkan pandangan bahagian sisi kenderaan. Kemudiannya, sebarang silau daripada lampu yang mengenai kamera ini akan diperbaiki dengan HDR dan teknologi pemprosesan lain sebelum terpapar di skrin dengan kecerahan yang sesuai.

Pada bahagian dalam, terdapat pengesan yang boleh mengenal pasti ekspresi muka serta pergerakan badan pemandu, di mana kemudiannya maklumat yang diperolehi digunakan untuk melihat tahap konsentrasi serta kepenatan, seterusnya mengeluarkan amaran jika perlu. Pengesan ini juga boleh membantu pelarasan sistem pendingin hawa, pemain muzik, mod pemanduan, paparan peta serta ciri lain.

Dengan terdapat teknologi pemanduan autonomous pada kenderaan ini, Sony mahu mewujudkan ‘ruang hiburan bergerak’ melalui teknologi 360 Reality Audio. Selain pada kedudukan biasa, pembesar suara turut diletakkan dalam tempat duduk, dan ia boleh digunakan untuk memberi bunyi atau audio yang berbeza untuk semua empat tempat duduk yang ada.

Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

Melengkapi sistem bunyi ini adalah skrin panoramik yang dipasang sepanjang keseluruhan papan pemuka Vision-S. Ia dibahagi kepada tiga iaitu untuk pemandu, penumpang hadapan dan juga di tengah. Di bahagian tepi sekali adalah untuk pandangan sisi. Selain tombol kawalan di hadapan untuk sistem infotainmen ini, di belakang juga terdapat tombol untuk fungsi yang sama pada perehat tangan.

Sistem sambungan dan integrasi kenderaan ini dipanggil sebagai Vision-S Link. Ia boleh disambungkan kepada beberapa peranti dan kenderaan. Melaluinya, pengguna boleh mengaktifkan sistem pemanduan autonomous dan memanggil kenderaan ke lokasi mereka.

Apabila sudah masuk dalam kenderaan pula, peta serta muzik yang sedang dimainkan pada peranti pengguna akan terus dimainkan atau dipapar pada kenderaan. Sistem ini juga boleh menjadi lebih pintar dan adaptif dengan kemas kini atas talian dan sistem A.I.

Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

Vision-S mengikut trend semasa dengan dibina atas platform modular, yang membenarkan ia turut dikongsi untuk pelbagai lagi bentuk kenderaan seperti coupe, sedan, SUV dan MPV. Perinciannya tidak dinyatakan tetapi Sony memberitahu mereka mahu membangunkan kenderaan ‘dengan sasaran mencapai markah tinggi dalam ujian keselamatan di seluruh dunia.’

Melihat kepada dimensi, Vision-S mencatat ukuran 4,895 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,450 mm tinggi, dengan jarak roda 3,000 mm. Sebagai perbandingan, Tesla Model S pula mencatat panjang 4,980 mm, lebar 1,964 mm, tinggi 1,440 mm dan jarak roda 4,980 mm.

Roda kenderaan ini dipegang oleh sistem suspensi udara dan tetapan double wishbone di semua bahagian, serta rim 21 inci yang dibalut dengan tayar 245/40 di hadapan dan 275/35 di belakang. Brek adalah daripada Brembo. Kenderaan yang mempunyai berat 2,350 kg ini dipacu oleh motor elektrik 200 kW yang diletakkan pada setiap gandar, dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, serta laju maksimum 240 km/j. Daripada video yang disiar juga Vision-S dilihat boleh mencapai jarak gerak sehingga 454 km dengan sekali cas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required