Data jualan kenderaan bagi bulan Disember 2019 sudah pun dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dengan mencatat keseluruhan 54,842 buah kenderaan diserahkan kepada pelanggan. Jumlah ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak 4.29% atau 2,258 unit berbanding bulan November 2019.
Melihat kepada pecahan ikut jenama pula, semua 10 yang berada di tangga teratas mencatatkan jumlah jualan yang meningkat, kecuali Perodua yang turun sebanyak 10.2% dengan jualan 18,357 buah kenderaan. Walaubagaimanapun, Perodua masih berada di tempat pertama, diikuti oleh Proton yang mencatat jualan 11,117 buah kenderaan dan naik sebanyak 15.3% berbanding bulan sebelumnya.
Dalam bulan ini juga kita boleh menyaksikan Mercedes-Benz berada di tempat ketujuh dengan jualan yang meningkat sebanyak 35.5% menjadi 1,186 buah kenderaan. Seterunya, iaitu BMW pula mencatat jumlah jualan yang menurun sebanyak 39.6%, berjumlah 465 unit (di tempat ke-13).
Jenama yang meningkat paling banyak berbanding bulan sebelumnya adalah Isuzu iaitu 49.5%, dengan catatan keseluruhan bagi bulan Disember 2019 sebanyak 1,193 unit. Jenama lain yang mencatat peningkatan jualan adalah Kia 26.6% (233), Hyundai 25.7% (171), Mitsubishi 24.4% (775), Nissan 22.8% (2,124), Toyota +15.7% (8,046) dan Honda 8.1% (7,235).
Jenama yang mencatat penurunan paling banyak pula adalah Subaru, iaitu 47.7%, di mana pada bulan November mereka menjual 264 buah kenderaan, tetapi bulan Disember cuma 138 buah. Renault pula mencatat penurunan 17% dengan jualan 78 buah kenderaan, berbanding bulan sebelumnya 94 buah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.