TAS2020: Datsun Sunny B310 TS-Cup – kuda tua dengan enjin yang mampu menjerit sehingga 9k rpm!

TAS2020: Datsun Sunny B310 TS-Cup – kuda tua dengan enjin yang mampu menjerit sehingga 9k rpm!

Kalau kita di bagi klu seperti “kereta lama Jepun”, “ringan”, “pacuan belakang”, dan “enjin NA rpm tinggi”, tentu dalam kepala anda terbayang Toyota Corolla AE86 bukan? Datsun Sunny B310? Alah, itukan kereta yang selalunya orang buat teksi.

Tapi bukan semua Sunny begitu tuan-tuan. Di Malaysia Sunny hanya dijual secara rasmi oleh Tan Chong Motor dalam versi sedan 120Y. Namun untuk pasaran Jepun, Datsun sebenarnya ada menghasilkan versi ‘berprestasi tinggi’ untuk Sunny dalam bentuk badan liftback seperti AE86, dalam varian 140Y (enjin 1,400 cc) dan 150Y (enjin 1,500 cc).

Antara dua model berkenaan, 140Y adalah model yang paling berkuasa. Walaupun enjin A14 pada model ini mempunyai kapasiti yang lebih kecil dari enjin A15 pada 150Y, strok yang pendek pada omboh membolehkan kadar rpm diperah pada kelajuan yang lebih tinggi.

Ia juga juga dibekalkan dengan karburator yang paling besar antara semua model, dan digandingkan dengan kotak gear ‘dogleg’ (gear satu pada kedudukan kiri bawah yang kelihatan seperti kaki anjing, sama dengan model-model lama Ferrari dan Porsche) manual lima-kelajuan dengan nisbah gear yang lebih pendek.

Ketika era 80’an dahulu, Sunny 140Y ini adalah salah model yang sangat popular dalam siri perlumbaan TS-Cup (Touring Special) di Jepun, iaitu siri kejohanan touring car produksi yang bertarung sebagai kelas lebih rendah dari kategori Group 5 Super Silhouette dalam Fuji Grand Champion Series.

Sunny B310 berwarna kuning yang kami temui di Tokyo Auto Salon 2020 adalah salah satu jentera sebenarnya yang bertarung dalam kejohanan TS-Cup berkenaan. Berdasarkan pelekat perlumbaan pada fender kanan kereta ini milik pasukan Moon Power Racing Team ini, ia nampaknya masih lagi aktif berlumba dalam TS-Cup yang dianjurkan oleh Persatuan Kereta Klasik Jepun (JCCA) saban tahun di litar Fuji Speedway dan litar Tsukuba.

Menurut regulasi TS-Cup, kesemua jentera yang bertanding perlulah menggunakan enjin produksi yang sama dengan model di bilik pameram, tetapi dibenarkan untuk menerima ubahsuai berat. Jadi Sunny B310 ini masih menggunakan enjin A-series asal – empat silinder, lapan-injap yang di tolak oleh push rod kerana aci sesondol berada pada sisi enjin.

Enjin pada jentera Moon Power Racing Team ini disediakan oleh penala yang sinonim dengan enjin A-series ini sejak tahun 70’an lagi iaitu Tomei. Ia kebiasaannya berasaskan enjin A12 atau A14 kerana seperti yang disebutkan tadi mempunyai konfigurasi enjin oversquare (strok lebih pendek dari bore) yang membolehkan takat rpm lebih tinggi dicapai.

Dengan ubahsuai menyeluruh dari aci engkol, omboh, injap, aci sesondol serta penggunaan karburator perlumbaan berkembar jenis side draught, enjin-enjin A-Series yang disediakan oleh Tomei ini mampu menjana sekitar 170 hingga 190 PS, dan kalau anda perasan redline pada takometer Smith Datsun ini, ia ditetapkan pada 9,500 rpm!

Untuk perlumbaan TS-Cup ini, kesemua Sunny menerapkan rekaan aerokit yang sama. Kesemua lampu dan juga bampar masih lagi sama dengan model produksi, tetapi diberikan spoiler hadapan, overfender pada kesemua ruang roda bagi memberikan trek suspensi kiri dan kanan yang lebih lebar – semuanya berbentuk petak, serta spoiler ekor itik pada bonet belakang.

Jentera milik Moon Power Racing Team ini adalah B310 dari versi ‘Kouki’ iaitu versi facelift 1981 hingga 1983 dengan lampu hadapan petak, dan bukan dari versi ‘Zenki’ (pre-facelift, lampu bulat, 1979-1981). Rim juga boleh dikatakan kesemua Sunny menggunakan set dengan dimensi sama iaitu 13-inci X 8jj di hadapan dan 13-inci x 9jj di belakang.

Kokpit pula tampil ringkas seperti kereta lumba lain dengan hampir keseluruhan komponen ‘ditogelkan’ kecuali papan pemuka dan panel dalaman pintu. Kemudian ia diberikan rollcage penuh, tempat duduk bucket perlumbaan dari Bride (hanya pemandu), tali pinggang dari Sabelt, pemadam api dan roda stereng dari Momo.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required