Menurut sebuah laporan The Star, konsortium Naza-Berjaya nampaknya telah dipilih oleh kerajaan sebagai syarikat yang akan membekal, menyelenggara dan menguruskan armada kenderaan rasmi kerajaan serta kereta peronda polis. Dipercayai konsortium berkenaan telah menerima surat makluman daripada kementerian kewangan, dengan penganugerahan kontrak sebenar akan diumumkan Jun nanti.
Konsortium berkenaan bakal menggantikan Spanco yang menguruskan armada kenderaan kerajaan sebelum ini sejak 1994. Spanco merupakan sebuah syarikat pengurus armada kenderaan yang memiliki dua pusat servis flagship di Batu Caves dan Bangi, serta lebih 200 pusat servis seluruh negara.
Keperluan untuk melantik syarikat baru itu muncul selepas perjanjian konsesi 25-tahun Spanco dengan kerajaan tamat pada Disember 2018 – syarikat itu kemudiannya diberikan dua kali lanjutan (enam bulan setiap satu) pada 2019 dan terus mengurus armada kenderaan kerajaan sehingga hujung tahun lalu. Laporan itu juga menyebut, dipercayai Spanco telah diberi sekali lagi lanjutan bagi tempoh enam bulan sehingga Jun, menyebabkan perjanjian konsesi baru ini hanya akan dianugerahkan selepas itu.
Pada Februari tahun lalu, kerajaan membuka panggilan untuk cadangan bagi kontrak untuk membekal, menyelenggara dan penguruskan barisan kenderaan rasminya bagi tempoh 15 tahun. Dipercayai sekurang-kurangnya tujuh syarikat telah menghantar cadangan bagi tempoh konsesi baru ini; selain Naza Group, pembida lain termasuk Berjaya Group, Sime Darby, DRB-Hicom, Samling Group, Comos dan Go Auto serta Spanco sendiri, yang menjangkakan dapat meneruskan konsesi tersebut.
Saiz dan jumlah konsesi berkenaan bagaimanapun masih belum didedahkan, tetapi ia dijangka akan ditawar berdasarkan jumlah armada sebanyak 12,500 unit kenderaan; kontrak berkenaan boleh mencecah nilai RM300 juta setahun bagi tahun kelima dan berikutnya. Barisan kenderaan sedia ada, semuanya yang dipajak daripada Spanco bagi tempoh kitaran gantian setiap lima tahun, adalah termasuk kenderaan yang digunakan oleh menteri dan pegawai kerajaan serta kereta peronda polis.
Dengan kontrak Spanco, konsesi pengurusan menyeluruh bagi barisan kenderaan itu datang dengan kitaran penggantian bagi setiap lima-tahun untuk memastikan kenderaan kerajaan sentiasa kekal baru dan semasa, dengan kos penyelenggaraan bagi setiap unit ditetapkan had maksimumnya.
Merujuk laporan yang sama, pemegang konsesi baru hanya akan mula membekalkan kereta baru kepada kerajaan untuk menggantikan kenderaan Spanco yang telah tamat tempoh pajakan sebaik sahaja kontrak itu diperincikan lebih lanjut. Bagaimanapun, dengan kontrak konsesi baru ini, Spanco masih akan dilantik untuk menyelenggara dan menguruskan kenderaan yang dipajak olehnya, yang masih digunakan oleh kerajaan sehinggalah kenderaan-kenderaan itu diganti nanti.
Dalam tempoh 12 bulan lalu, Spanco membekalkan sekitar 2,000 kenderaan kepada kerajaan sebagai ganti kepada kenderaan yang telah tamat tempoh lima-tahun penggunaan. Ini termasuk 500 unit Proton X70 yang diserahkan pada Disember lalu dan January tahun ini.
Konsortium Naza-Berjaya mempunyai 20 jenama kenderaan di bawah mereka, termasuk Kia, Peugeot dan Mazda. Ogos tahun lalu, ketika bercakap kepada sisipan perniagaan StarBiz, Ketua Pegawai Strategi Naza Corp, Azrul Reza memberitahu bahawa konsortium Naza-Berjaya akan mampu untuk melanjutkan kadar sewaan kenderaan yang kompetitif dan membantu kerajaan mencapai kecekapan kos melalui penawaran menyeluruh dan memberi manfaat kepada kerjaaan melalui kos yang lebih rendah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.