Sudah dua tahun Dr. Li Chunrong menerajui Proton sebagai CEO dan dalam tempoh itu juga, orang kepercayaan Geely ini bersama pasukannya berhempas pulas memulihkan semula imej syarikat pengeluar kereta nasional pertama Malaysia yang hampir rebah ini. Malahan dalam tempoh dua tahun juga, Proton bergerak agresif untuk mengatasi jenama gergasi Jepun termasuk Honda dan Toyota.
Melihatn akan kejayaan yang berjaya dicapai ini, Geely meminta beliau untuk bersaing di pasaran Asia Tenggara dan lebih jauh dari itu. Menurut Geely, antara kejayaan yang dilakarkan termasuklah usaha pengurangan kos yang agresif.
“Kini, Geely meminta kami untuk berkembang merentasi rantau ini, dengan tumpuan awal kepada Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei, kata Chunrong kepada Reuters. Ini kali pertama butiran konkrit rancangan pertumbuhan Proton didedahkan.
Seperti Malaysia, negara yang disebutkan itu merupakan pasaran pemanduan sebelah kanan yang memerlukan modifikasi lebih kecil terhadap kereta.
“Proton juga mensasarkan untuk menembusi Asia Barat dan meningkatkan jualannya ke Mesir. Malahan mahu meningkatkan jualan luar negara, yang hanya berjumlah 1,000 unit tahun lalu, atau satu peratus daripada jualan keseluruhannya kepada sekurang-kurangnya empat kali ganda tahun ini,” ujar Chunrong yang tidak memberikan garis waktu tertentu rancangan pengembangan kepada setiap pasaran.
Tambahnya lagi, Proton mahu 40% jualannya daripada pasaran luar negara menjelang 2027. Malah turut mengenalpasti Thailand dan Indonesia sebagai pasaran penting, namun Chunrong enggan mendedahkan strateginya.
“Kami mempunyai asas yang baik. Kami komited termasuk melancarkan model baharu pada setiap tahun,” katanya.
Kalau mengikut rantau ASEAN yang mempunyai 500 juta penduduk, perancangan Proton ternyata bertepatan kerana memilih wilayah yang berpotensi.
Kalau mengikut jualan kereta yang diunjurkan oleh firma perunding, IHS Markit, pasaran automotif akan berkembang pada kadar tiga peratus setahun pada 2016 hingga 2020, berbanding penurunan satu peratus di peringkat global. Namun, IHS berkata, Proton masih lagi pemain industri yang kecil berbanding jenama dari Jepun dan pasti berdepan kesukaran untuk bersaing.
Untuk peringkat ASEAN, Toyota masih mendominasi pasaran sebanyak 30%, diikuti Honda (13%) dan Mitsubishi (10%), menurut IHS Markit. Manakala Proton berada di kedudukan ke-11 dengan tiga peratus penguasaan dalam pasaran dan kebanyakan jualan adalah dari Malaysia sendiri.
Menurut seorang penganalisis kanan IHS, sasaran Proton adalah satu cita-cita yang tinggi dan ia mungkin tidak mempunyai kapasiti pengeluaran untuk menembusi pasaran serantau. Jelasnya lagi, dari segi jualan, Proton mungkin tidak berjaya di luar Malaysia.
Walau bagaimana pun, Geely berkata, Proton mencatatkan prestasi baik sejak dua tahun lalu dan syarikat ini komited untuk melihat jenama Malaysia itu menjadi jenama utama di Asia Tenggara.
Pada tahun lalu, Proton telah menduduki tangga kedua dalam penjualan kereta di Malaysia dengan penguasaan pasaran sebanyak 16.7% – berjaya mencatatkan keuntungan buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun – mengatasi kedudukan Honda dan Toyota, masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Chunrong turut berkata, Proton mampu mengatasi Perodua yang masih utuh di kedudukan pertama dalam jualan kenderaan di Malaysia, dan disasarkan mampu mencapai misi tersebut menjelang 2022 – lima tahun lebih awal berbanding apa yang Geely pernah umumkan sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.