Dalam majlis makan tengahari bersama pihak media hari ini, BMW Group Malaysia turut mengumumkan beberapa perancangan untuk tahun ini, salah satunya termasuklah lanjutan bagi “Story of Visionary Mobility” (contohnya teknologi masa hadapan BMW Group) yang senada dengan Dasar Automotif Negara (NAP) akan datang.
Sementara perincian mengenai NAP masih belum diumumkan, namun sumber daripada BMW Group Malaysia memaklumkan ia bakal meliputi mobiliti masa hadapan, termasuk elektrifikasi dan pemanduan sendiri, seiring sejalan dengan apa yang sedang BMW lakukan di peringkat global. Ini termasuklah perancangan besar untuk membawa model elektrifikasi baharu, menurut sumber terbabit.
Model 330e F30 yang pernah berada di pasaran tempatan menerima sambutan yang amat memberangsangkan, malah lebih 1,000 unit berjaya terjual. Namun memandangkan model terbabit telah pun tidak lagi dijual disini, perhatian kami beralih pada model G20 generasi akan datang, dan sumber berkenaan berkata BMW berminat untuk membawa varian plug-in hybrid bagi model 3 Series pada tahun ini.
Tanpa mendedahkan perincian lanjut, kami meneka ia adalah kemungkinan model 330e yang bakal dibawa masuk ke pasaran kita. Sumber berkenaan turut menambah, MINI Cooper SE, versi elektrik sepenuhnya bagi model MINI hatch tiga-pintu, juga sedang dipertimbangkan untuk dilancarkan di sini. Jika ia menjadi kenyataan, maka model berkenaan bakal menyertai BMW i3s dalam barisan EV tempatan.
Untuk pengetahuan, 330e G20 merupakan versi yang dipertingkatkan bagi penjana kuasa F30, iaitu gandingan enjin B48 2.0 liter turbo empat-silinder (184 PS), motor elektrik 50 kW (68 PS) dan kotak gear automatik lapan-kelajuan ZF. Secara menyeluruh, model berkenaan mampu menghasilkan kuasa sehingga 252 PS dan tork cecah 420 Nm, tetapi dengan adanya ciri XtraBoost, ia mampu menambahkan lagi 40 PS di bawah kuasa pendikitan, menjadikan keseluruhan kuasa mencecah 292 PS. Bateri lithium-ion 12 kWh turut diberikan bagi pacuan semua-elektrik, yang mampu memacu enjin hingga jarak 60 km.
Sementara itu, bagi MINI Cooper SE pula, ia digandingkan dengan motor elektrik 184 PS/270 Nm, yang dijanakan oleh bateri lithium-ion 28.9 kWh. Pecutan dari sifar ke 100 km/j boleh dicapai dalam 7.3 saat dan mampu dipacu dengan cas penuh sehingga 270 km. Pengecasan penuh hanya mengamil masa sekitar 4.2 jam dengan penggunaan AC Wallbox berkapasiti 7.2 kW, 3.5 jam dengan wallbox berkapasiti 11 kW dan 1.4 jam menggunakan pengecas pantas DC 50 kW.
Untuk pengesahan lebih lanjut, kena tunggu pengumuman seterusnya daripada BMW Group Malaysia sendiri. Pastinya 2020 ini syarikat tersebut mahu mengambil langkah agresif dalam memperkenalkan pelbagai model baharu seperti mana tahun lalu yang mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.