TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia telah pun melancarkan Renault E-Store baharu dengan ciri ‘Buy a Renault’ dan ‘Subscribe’ pada laman web Renault Malaysia. Ia merupakan langkah ke arah e-dagang yang pertama dalam industri automotif tempatan.
Selain tidak perlu pergi ke bilik pameran dan memandu uji kenderaan Renault selama tiga jam yang ditawarkan menerusi GoCar, pelanggan kini boleh memiliki kemudahan untuk membeli atau melanggan sebuah Renault secara digital yang revolusionari.
“Kami berbangga untuk menjadi jenama automotif pertama yang terlibat dalam e-dagang. Menerusi Renault E-Store dan lebih banyak tawaran baru pada masa akan datang, kami menjadi perintis dalam pendigitalan pengalaman pelanggan. Pada masa yang sama mengubah industri ini,” kata Pengerusi TC Euro Cars, Nicholas Tan.
Bagaimana Renault E-Store ini berfungsi? Dengan hanya melayari laman web Renault Malaysia (www.renault.com.my), pelanggan boleh melengkapkan penyelesaian yang menyeluruh termasuk pilih
model dan warna yang mereka mahukan, kemudian buat bayaran tempahan serta hantar dokumen-dokumen berkaitan.
Selain itu, pelanggan juga diminta untuk menghantar perincian penilaian trade-in , menyediakan pinjaman bank yang dimahukan dan memeriksa status kenderaan baharu mereka. Langkah terakhis pula, pelanggan harus menyatakan lokasi penyerahan sama ada di bilik pameran Renault atau dihantar ke lokasi pilihan (dengan tambahan kos).
Bagi memastikan kemudahan yang optimum kepada pelanggan, agen-agen Renault yang komited akan membantu pelanggan melalui setiap proses pembelian.
Bagi meraikan pelancaran Renault E-Store, TCEC turut melanjutkan tawaran ‘Beli Satu, Percuma Satu’ untuk 50 pelanggan pertama yang membeli secara dalam talian. Semua pelanggan ini akan menerima langganan selama enam bulan crossover gaya hidup Captur yang versatil secara percuma. Langganan itu boleh dipindahkan kepada ahli keluarga.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.