Konsortium Lebuhraya Utara Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI), pemegang konsesi bagi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) telah mengumumkan penutupan sebahagian persimpangan Jalan Kuching (arah utara) sempena dengan acara Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.
Penutupan selama sejam itu bermula pada jam 1.40 petang hingga 2.40 petang pada 10 Februari ini untuk peringkat ke-4 LTdL 2020 dari Putrajaya ke Genting Highlands yang akan melalui Jalan Kuching hingga Selayang dan seterusnya ke destinasi penamat. Persimpangan terbabit akan dibuka semula secara berperingkat selepas semua peserta acara berkenaan melalui lokasi tersebut.
Menurut DUKE, penutupan tersebut akan memberikan kesan kepada pengguna yang datang dari arah Jalan Duta/SPRINT melalui DUKE untuk ke Jalan Kuching/Selayang (exit 3302) dan dari arah pusat bandar untuk memasuki DUKE melalui persimpangan Jalan Kuching (exit 3302).
Justeru, para pengguna DUKE diminta menggunakan laluan alternatif sepanjang penutupan itu iaitu menggunakan Sri Damansara Link melalui Plaza Tol Segambut untuk ke arah Kepong/Selayang, susur keluar Jalan Ipoh melalui Plaza Tol Batu untuk ke arah Jalan Ipoh/Kepong/Selayang dan juga Karak Link melalui Plaza Tol Sentul Pasar untuk ke arah Batu Muda/Gombak/Batu Caves.
Pihak DUKE turut menasihati orang ramai mematuhi semua langkah-langkah keselamatan dan arahan sepanjang penutupan tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.