Berita baik untuk kita semua. Kerajaan telah mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97, RON95 dan juga diesel untuk mingga bertarikh 8 hingga 14 Februari 2020. Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petroleum bagi tempoh berkenaan membabitkan harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 7 sen seliter iaitu daripada RM2.41 seliter kepada RM2.34 seliter.
Manakala harga runcit petrol RON95 turun sebanyak 4 sen seliter iaitu daripada RM2.08 seliter kepada RM2.04 seliter. Bagi harga runcit diesel turun sebanyak 10 sen seliter iaitu daripada RM2.18 seliter kepada RM2.08 seliter untuk Euro 2, manakala RM2.18 bagi Euro 5.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, penurunan harga runcit ini adalah disebabkan penurunan harga minyak global. Harga RON95 sebanyak RM2.04 seliter dan diesel sebanyak RM2.08 seliter ini menunjukkan penurunan yang besar dari minggu lepas (1 Februari 2020 sehingga 7 Februari 2020) bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.11 seliter (tetapi disekat pada had harga runcit RM2.08 seliter) dan diesel yang berada pada paras RM2.18 seliter masing-masing.
Ini membuktikan kerajaan komited dengan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan dan telah pun melaksanakan penetapan harga runcit secara mingguan dengan had harga tidak melebihi RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.
Selain itu, ia membolehkan para pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga runcit produk petroleum di pasaran dunia dan sebaliknya dilindungi daripada sebarang kenaikan harga yang melebihi RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel. Subsidi produk petroleum dan Liquified Petroleum Gas (LPG) yang dibiayai oleh Kerajaan adalah sebanyak RM6 bilion untuk tahun 2019.
Dasar penstabilan harga runcit ini memanfaatkan rakyat, di mana apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperolehi manfaat penurunan harga minyak dengan segera.
Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.