Teaser rasmi untuk Audi A3 Sportsback baru akhirnya didedahkan, bersama perincian naik taraf kelengkapannya. Menurut Audi, kalau dibandingkan dengan model sebelumnya, dinamik model baru ini serba hebat pada segenap bahagian. Ia hanya akan didedahkan sepenuhnya semasa Geneva Motor Show bulan hadapan.
Selain sistem pacuan semua roda Quattro, model ini juga dilengkapi dengan pengagih tork elektronik, yang boleh menyampaikan sehingga 100% tork ke roda belakang. Dalam keadaan biasa, kuasanya lebih kepada roda hadapan.
Klac kereta ini diletakkan di hujung propeller shaft, depan sedikit daripada gandar differential belakang. Menurut Audi, tetapan ini memberikan kelebihan pada pembahagian beban gandar, dan klac itu beroperasi dalam takungan minyak. Apabila terdapat gelinciran pada roda hadapan, klac tersebut serta merta mengalih tork ke belakang melalui pam elektrik axial-piston – tekanan hidraulik sehingga 44 bar.
Lebih kuat klac ini ditekan oleh pam tersebut, lebih banyak juga tork dihantar ke roda belakang. Selain itu, sistem Quattro ini juga menyampaikan tork ke belakang dalam keadaan pemanduan sporty, terutamanya apabila memecut keluar dari selekoh. Sistem pembahagian tork ini juga sensitif kepada perubahan beban.
Sistem AWD Quattro bekerja bersama dengan pengawal stabilisasi elektronik, yang juga mengawal parameter kawalan tork roda secara berasingan. Menurut Audi, apabila A3 dipandu laju di selekoh, programnya secara automatik mengenakan tekanan brek pada roda di bahagian dalam, sekaligus menjadikan kawalan lebih lincah, lancar dan selamat.
Kadar pembahagian kuasa adalah bergantung kepada mod pemanduan (Comfort, Auto, Dynamic, Efficiency atau Individual), tapi Audi memberitahu, sistem ESC akan mengawal pelarasan tanpa terlalu mengganggu. Apabila ESC aktif, pecutan dilakukan dengan gelinciran roda yang paling sedikit mungkin, dan apabila dalam mod Sport pemandu masih boleh drift atas jalan yang licin seperti salji. ESC boleh ditutup sepenuhnya jika tidak mahu sebarang gangguan.
A3 baru juga akan ditawarkan dengan penyerap adaptif dan injap elektromagnetik, menampilkan tiga pilihan tetapan antara yang paling selesa hingga paling sporty. Stereng progresif elektromekanikal juga diberikan, di mana rasa maklum balas stereng ini berbeza bergantung kepada mod pemanduan. Ia juga bekerja bersama dengan fungsi seperti Adaptive Cruise Assist, Collision Avoidance Assist dan Park Assist.
Selain ciri elektronik yang memberi kesan terus kepada pemanduan, maklum balas stereng serta pendikit, bahagian lain seperti pendingin hawa, lampu LED matriks dan penarik tali pinggang juga akan menerima pelarasan tertentu bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.