Cupra telah melancarkan secara rasmi Ateca Limited Edition di United Kingdom, di mana ia menampilkan rekaan lebih sporty, pilihan warna baru serta beberapa peningkatan prestasi. Pengeluaran diterhadkan kepada 100 unit sahaja, dan harga bermula £42,120 (RM225k) untuk warna Rhodium Grey, dan £45,160 (RM242k) untuk Graphene Grey dengan ekzos Akrapovic.
Daripada 100 unit ini, hanya 20 akan dipasang dengan ekzos Akrapovic yang membantu mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 7 kg. Prestasi enjin bertambah baik dengan ekzos ini dan sudah tentu, bunyinya adalah lebih garang. Model ini dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter TSI dengan kuasa 300 PS dan 400 Nm tork. Kotak gear DSG tujuh kelajuan datang secara standard dan kuasa dihantar ke semua roda.
Bagi catatan prestasi, Ateca boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, sebelum mencecah laju maksimum 245 km/j. Emisi CO2 berada pada kadar 192 hingga 201 gram bagi setiap kilometer, manakala penggunaan bahan api purata pula adalah antara 8.5 hingga 8.9 liter bagi setiap kilometer – berdasarkan kitaran ujian WLTP.
Cupra juga menawarkan Ateca edisi terhad ini dengan pek naik taraf ABT Sportsline, yang melonjakkan lagi kuasanya menjadi 350 PS dan 440 Nm tork. Tindak balas serta tork kadar pertengahan kenderaan menjadi lebih baik tetapi masa pecutan 0-100 km/j masih lagi sama. Laju maksimum menjadi 255 km/j.
Pada aspek rekaan, SUV edisi terhad ini mendapat rim aloi tembaga 20 inci, serta spoiler belakang dan pelindung cermin sisi gentian karbon dengan jalinan tembaga. Angkup brek hadapan menggunakan unit Brembo 18 inci. Pada bahagian dalam, tema gentian karbon dengan jalinan tembaga diteruskan dan ia boleh dilihat pada kemasan papan pemuka serta panel pengawal pendingin hawa. Tempat duduk sport yang datang dengan fungsi pemanas pada kenderaan ini dibalut dengan Petrol Blue Alcantara.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.