Netizen sering mempertikaikan hukuman yang dikenakan terhadap pemandu kenderaan yang menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian. Kata netizen, hukuman yang diperuntukan itu tidak setimpal dengan kehilangan nyawa, apatah lagi jika kemalangan terbabit membabitkan kecuaian termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol. Di mana, tegas mereka, pesalah perlu dihukum gantung sampai mati.
Walau bagaimana pun, Pegawai Turus Kes Profil Tinggi & Kajian Kes, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Rozlim Che Ali menjelaskan, kes kemalangan jalan raya termasuk yang menyebabkan kematian tidak boleh disamakan dengan kes bunuh, yang dikenakan hukuman gantung sampai mati.
“Ini kerana kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan parah, ringan atau maut ia dikategorikan sebagai kes ‘quasi criminal’. Hanya memadai dibuktikan dengan tindakan tetapi berbeza dengan kes bunuh kerana terdapat dua perkara yang perlu dibuktikan iaitu niat serta tindakan,” ujarnya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Tambahnya lagi, bagi kes bunuh jika dapat dibuktikan niat seseorang pelaku itu serta tindakannya, barulah pertuduhan boleh dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
“Tetapi dalam kes kemalangan, sukar untuk kita buktikan niat seseorang itu walaupun tindakannya mendatangkan kematian,” katanya dalam program Wacana Siri 156 bertajuk ‘Pemandu Mabuk: Perlukah Hukuman Lebih Berat?’ yang berlangsung malam tadi di Bangunan Sinar Harian. Beliau diajukan soalan mengapa pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kepada orang lain tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati seperti pesalah kes bunuh oleh moderator Amin Idris.
“Disebabkan itu, dalam kes-kes kemalangan, polis hanya mengambil apa tindakan yang dilakukan pemandu tersebut dan jika boleh disabitkan sebagai punca kemalangan yang menyebabkan kematian kepada orang lain, ia sudah cukup untuk menuduh pelaku tersebut di mahkamah,” jelasnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.