Jika beberapa jenama besar termasuk Hyundai, Kia dan Renault yang terpaksa menggantung operasi di kilang pengeluarannya yang terletak di Korea Selatan, berbeza dengan Proton yang menjangkakan impak penularan coronavirus (COVID-19) ke atas rantaian komponen pengeluaran model Proton X70 adalah minimum.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed, walaupun impak ke atas Proton masih kecil, namun pengeluar kereta nasional memantau rapi perkembangan di China memandangkan kebanyakan komponen model SUV pertamanya didatangkan dari negara itu.

“Buat masa ini kami masih OK dan Proton memantau situasi ini memandangkan kami memiliki banyak vendor di sana sama seperti pengeluar lain. Cuma kita tidak tahu apa apa yang akan berlaku pada masa depan. Sekarang pun sudah ada kilang beroperasi semula,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian

Tambah Radzaif lagi, langkah pemasangan secara tempatan dengan cadangan menggantikan vendor di China dengan pembekal komponen tempatan akan dilihat dengan penuh teliti supaya Proton lebih bersiap siaga pada masa depan.

“Kami mempunyai stok mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran. Jadi saya fikir kami masih memiliki tuah buat masa ini,” katanya.

Sebelum ini, seorang penganalisis menjangkakan Proton dan Sime Darby Bhd dilihat bakal menerima impak memandangkan ia memiliki hubungan langsung industri automotif China. Menurut penganalisis terbabit, walau pun Proton telah memula memasang model X70 CKD di kilang Tanjung Malim, namun kebanyakan bahagian dan komponen masih dibawa masuk dari China.