Tiga tahun lalu, jenama automotif keluaran Australia, Holden telah menghentikan operasi produksinya di negara berkenaan, dengan produk-produk mereka akan dibuat dan diimport dari kilang-kilang General Motors (GM) di negara lain. Hari ini satu lagi berita duka untuk jenama tersebut diumumkan – GM sah akan menghentikan seluruh operasi Holden pada hujung tahun ini, lapor CarAdvice.
Keputusan ini diambil kerana GM telah membuat keputusan untuk tidak lagi menghasilkan kereta-kereta dengan pemanduan sebelah kanan. Model-model yang dijual oleh Holden buat masa sekarang sebenarnya adalah versi rebadge dalam pemanduan sebelah kanan dari jenama di bawah GM yang lain; Holden Commodore ZB misalnya, adalah diasaskan dari Opel Insignia.
Serentak dengan langkah ini, GM turut akan menutup studio rekaan di Melbourne, dan juga litar ujian Lang Lang yang terletak pinggir Melbourne. Dengan langkah ini juga sekitar 600 hingga 800 staf akan kehilangan pekerjaan mereka, namun seramai 200 orang akan terus berkerja selama 10-tahun bagi meneruskan khidmat servis dan waranti terhadap unit-unit kenderaan terakhir yang telah dijual kepada pelanggan.
Sebahagian dari bilik pameran Holden sedia ada akan ditukar menjadi jaringan pengedar General Motors Specialty Vehicles (GMSV), iaitu sub-jenama yang akan menjual model-model GM dari Amerika Syarikat yang diubahsuai dari pemanduan sebelah kiri.
Buat masa sekarang GM telah pun menjual Chevrolet Corvette C8 di bilik pameran Holden bersama SUV GMC Acadia serta Chevrolet Equinox dengan logo Holden. Chevrolet Camaro dan Silverado juga telah dibawa ke Australia dan kini dijual di 65 dari 204 pengedar Holden di negara berkenaan.
“Niat kami adalah untuk memulihkan jenama…tiada kesalahan akan dituding kepada pasukan tempatan. Keputusan (berkenaan Holden) ini adalah semuanya kerana keutamaan pelaburan,” kata seorang yang berpangkat tinggi dalam GM kepada CarAdvice.
GM mencatatkan prestasi yang lembab di negara-negara pemanduan sebelah kanan lain dalam tiga tahun kebelakangan ini, dan telah pun angkat kaki dari pasaran seperti UK, Jepun, India dan Afrika Selatan. Mereka masih lagi beroperasi di Thailand, Australia dan New Zealand, namun menurut GM sudah tidak akan mendatangkan keuntungan untuk membangunkan kereta baharu bagi pasaran-pasaran kecil seperti ini. Buat masa sekarang, 75 peratus pasaran automotif dunia menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri.
Holden telah diasaskan oleh James Alexander Holden pada 1856, tetapi ketika itu syarikat tersebut merupakan pengeluar bagi produk-produk kulit dan pelana. Ia terus berkembang sebagai pembuat side car untuk motosikal dan membuat kerangka badan kereta pada tahun 1905, dan kemudian membekalkan kereta tram untuk Melbourne pada era 20’an.
Pada tahun 1924, Holden mula menjadi pengedar kenderaan dari Amerika, General Motors di Australia. Manakala pada 1931, General Motors dan Holden digabungkan bagi membentuk General Motors-Holden’s Limited (GM-H). Holden mula mengeksport keretanya ke New Zealand pada tahun 1953 dan syarikat tersebut benar-benar menyerlah pada tahun 1958 apabila 40 peratus dari keseluruhan kereta di Australia adalah dari Holden.
Detik kejatuhan Holden benar-benar dapat dilihat pada era Y2K apabila bahagian pasarannya jatuh 15% pada tahun 2006, setelah pelaburan sebanyak $400 juta di buat pada kilang enjin V6 miliknya yang terletak di Port Melbourne (kilang tersebut telah ditutup sepenuhnya pada 2016).
Kedudukan Holden semakin meruncing ketika era Krisis Kewangan Dunia yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang menjejaskan jualan eksportnya, seterusnya memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat tersebut. Akhirnya, VF Commodore yang dilancarkan pada tahun 2013 disahkan sebagai Commodore terakhir yang akan dihasilkan di Australia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.