Holden tamatkan pengeluaran enjinnya, sebelum penutupan keseluruhan jenama itu tahun hadapan

Holden Commodore VFII-01 cropped

Susulan laporan sebelum ini yang menyatakan Holden akan menamatkan keseluruhan operasinya pada tahun 2017, semalam merupakan hari terakhir produksi enjin untuk jenama berkenaan setelah kumpulan terakhir enjin V6 Holden disiapkan, menurut laporan CarAdvice.

Operasi produksi Holden akan ditamatkan keseluruhannya tahun hadapan setelah kumpulan terakhir Holden Commodore disiapkan. Penutupan operasi produksi enjin ini menyaksikan 175 orang pekerja Holden kini kehilangan portfolio tugas mereka. Namun syarikat berkenaan menyatakan 57 orang telahpun mengangkat kaki sebelum tugas terakhir semalam lengkap, majoriti selebihnya sedang mencari pekerjaan di tempat lain serta sebahagian kecil mengambil keputusan untuk terus bersara.

Sejak tahun lalu, Holden telah menyediakan khidmat bantuan pertukaran untuk pekerja yang terlibat seperti sesi informasi, bengkel, kaunseling karier, ekspo pencarian pekerjaan, menulis resume, persediaan kemahiran ketika temuduga dan juga latihan yang diiktiraf bernilai sehingga AUD3,000, namun sehingga kini, masa hadapan sebahagian besar daripada mereka masih lagi terumbang-ambing.

“Holden sedar akan impak terhadap penutupan operasi tempatan kepada pekerja-pekerja kami dan ahli keluarga mereka, diseluruh negara dan juga industri. Kami membuat semua yang termampu bagi membolehkan pekerja kami membuat pilihan dan membantu mereka beralih ke peluang seterusnya.” kata Holden dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

“Holden secara proaktif berhubung dengan HR dan ketua-ketua perniagaan di Victoria dan antara negeri yang telah melawat kilang di Port Melbourne dan melihat pelbagai kemahiran serta kebolehan tenaga kerja kami. Pekerja yang telah mendapatkan pekerjaan boleh meminta pakej pelepasan awal, membantu mereka mengambil peluang tersebut.” tambah kenyataan berkenaan.

Holden telah membina lebih dari 10 juta enjin di Australia sejak produksi penuh untuk enjin bermula pada tahun 1948, manakala jumlah keseluruhan 1,137,282 unit enjin dikeluarkan dari kilang HFV6 Fishermans Bend di Port Melbourne sejak ia beroperasi pada tahun 2003. Jumlah 1 juta enjin dicapai pada awal 2014, enam bulan sebelum pengumumannya untuk menghentikan produksi tempatan.

Hanya separuh dari enjin HFV6 yang dibuat di Australia dieksport keluar negara, manakala sejumlah 699,806 unit digunakan pada kereta-kereta domestik. Holden turut membina enjin V8 untuk model Kingswood dan Monaro di Port Melbourne, tetapi unit V8 buatan Australia tersebut digantikan dengan enjin yang diimport bermula era abad ke-20. Enjin empat-silinder juga pernah dihasilkan secara produksi tempatan, namun seperti juga enjin V8, ia turut digantikan dengan enjin-enjin yang diimport.

Enjin HFV6 yang dibuat semalam akan disimpan sebagai sebahagian dari koleksi warisan Holden. Komponen-komponen dan enjin masih lagi dihasilkan sebelum Commodore terakhir dilengkapkan dan sebahagiannya untuk komitmen pasaran ekport dan menurut Holden, ini adalah amalan biasa dalam industri automotif.

Penutupan operasi tempatan di Australia ini bukan sahaja melibatkan Holden. Oktober lalu, Holden menamatkan produksi hatchback Cruze dan pada masa yang sama Ford menutup keseluruhan produksi di sana selepas 91 tahun beroperasi, melibatkan penghentian penghasilan model Falcon dan SUV Territory. Toyota juga dilaporkan akan menghentikan operasi produksinya di Australia menjelang tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required