Hyundai dan Kia telah mengumumkan pembangunan satu sistem yang digelar sebagai Information and Communication Technology (ICT) Connected Shift System, di mana menurut mereka, boleh menukar kepada gear yang paling optima secara automatik selepas mengenal pasti keadaan jalan dan trafik di hadapan.
Menurut dua syarikat tersebut, teknologi penjangka yang pertama di dunia ini nanti akan dipasang pada kenderaan mereka, dan semasa pembangunannya, sekitar 40 paten utama telah difailkan di Korea Selatan dan beberapa negara lain.
ICT Connected Shift System menggunakan informasi masa sebenar yang didapati daripada kamera di kenderaan, sensor radar dan navigasi 3D dengan peta jalan yang lengkap. Dengan semua input ini, unit pengawal transmisi akan menjangka keadaan penukaran gear yang optima untuk situasi pemanduan masa sebenar melalui algoritma pintar buatan dan seterusnya menukar gear.
Sebagai contoh, apabila sistem ini menjangka kenderaan perlu diperlahankan dalam jarak yang panjang, tetapi radar tidak mengesan sebarang perubahan laju yang luar biasa pada kenderaan hadapan, ia akan menukar gear kepada neutral buat sementara untuk menjimatkan penggunaan bahan api.
Semasa ujian di jalan yang banyak liku pula, syarikat ini mendapati kekerapan penukaran gear dapat dikurangkan sehingga 43% jika dibandingkan dengan kereta yang tidak mempunyai sistem tersebut. Ia juga mengurangkan kekerapa penggunaan brek sehingga 11%, sekaligus mengurangkan keletihan dan kelusuhan sistem brek.
Dalam senario lain, sekiranya kenderaan hendak memasuki lebuh raya, di mana pecutan pantas diperlukan, sistem tersebut akan menukar mod pemanduan kepada Sport secara automatik bagi memudahkan kenderaan masuk ke dalam trafik yang sudah sedia laju. Lepas sudah sekata dengan trafik, ia akan tukar kepada mod biasa semula.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.