PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

Memasuki tahun 2020, semakin banyak pilihan model kenderaan utiliti sukan (SUV) di pasaran Malaysia. Sama ada SUV berkapasiti tujuh- atau lima-tempat duduk, dengan pelbagai penawaran ciri yang mengikut kehendak semasa.

Ini termasuklah dengan pengenalan Mazda CX-30 yang menjadi model SUV pertama yang dilancarkan untuk tahun 2020. SUV Crossover yang diasaskan dari Mazda 3 ini diposisikan di tengah antara model CX-5 dan CX3. Sekaligus memberikan pilihan untuk anda; sekiranya mahukan SUV yang bersaiz besar, boleh pilih CX-5, kalau hendak yang bersaiz sederhana, CX-30 lebih sesuai dan bagi yang inginkan SUV crossover yang agak kecil, bolehlah memilih CX-3.

Untuk pasaran Malaysia, CX-30 ditawarkan dengan tiga varian; 2.0 G SkyActiv-G 2WD dan 2.0 G High SkyActiv-G 2WD yang dijanakan unit petrol, manakala model tertinggi 1.8 D High SkyActiv-D 2WD dipadankan dengan enjin diesel.

PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

Berbanding CX-3, abang besarnya, CX-5 lebih laku dan mudah terlihat di jalan raya. Jadi bagaimana pula dengan nasib CX-30? Adakah mampu menambat hati orang Malaysia, walau pun harganya mungkin menjadi faktor utama untuk orang ‘berkira-kira’ untuk membelinya.

Selepas harganya diumumkan sewaktu majlis pelancarannya pada Januari lalu, memang tidak dinafikan, ramai juga yang merungut, mengatakan SUV yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini, tinggi harganya. Model asas 2.0 G SkyActiv-G 2WD dijual pada harga RM143,059 dan 2.0 G High SkyActiv-G 2WD berharga RM164,059. Manakala 1.8 D High SkyActiv-D 2WD yang dijual pada harga RM172,943.60. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Jadi, adakah penawaran bagi barisan CX-30 ini berbaloi dengan harga, imej, pengendalian, dan pemilikan secara menyeluruh? Baru-baru ini, kami telah memandu ujinya selama beberapa hari untuk menguji varian 2.0 G High SkyActiv-G 2WD.

PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

Unit petrol ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter SkyActiv-G dengan hamburan kuasa 163 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm. Sama seperti unit diesel, ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActive-Drive dengan mod manual, memacu roda hadapan. Kelajuan maksimum bagi enjin 2.0 liter ialah 196 km/j.

Dengan saiz yang sederhana, dirasakan penjana kuasa ini mampu memberikan prestasi yang semahunya. Biarpun sekadar pada tahap sederhana, tetapi asal mencukupi. Kuasa yang dihasilkan sentiasa mencukupi dalam pelbagai keadaan perjalanan yang saya tempuh bersamanya, malah tindak balas yang dihasilkan juga cukup responsif.

Untuk segi pecutan (terutamanya secara mendadak), jika bermula titik pegun atau pun kelajuan perlahan, dan kemudian kelajuan dipertingkatkan, sedikit kerahan tenaga memang diperlukan. Walau bagaimana pun gandingan bersama kotak gear konvensional automatik enam-kelajuan disifatkan bertepatan kerana ia cukup memberikan kerjasama yang optima pada saat anjakan gear perlu dilakukan.

PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

Bagi yang ingin menikmati pemanduan lebih sporty, tekan saja butang Sport. Kitaran enjin (rpm) akan dapat bertahan lebih tinggi. Tetapi pada pendapat saya, respons enjin tidaklah berubah begitu banyak. Mungkin kalau dilengkapi enjin dipadankan dengan teknologi SkyActiv-X, CX-30 lebih umpph agaknya. Tapi harganya pun…umph jugaklah.

Sebenarnya pengendalian CX-30 tidak jauh berbeza dengan abangnya, CX-5. Cuma badan CX-5 saja yang lebih besar daripada, tetapi tujahan prestasi seakan mirip dengan CX-30. Walau bagaimana pun, CX-30 ada lebih tork iaitu sebanyak 3 Nm (CX-5 dengan 210 Nm). Kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh CX-30 pula mencecah 196 km/j.

Mengendalinya di laluan berselekoh juga menyeronokkan, tetapi terasa sedikit olengan badan terutamanya bagi penumpang di belakang. Gandingan topang MacPherson di hadapan dan palang torsion di belakang membuatkan sistem suspensinya juga bersifat optimum. Kesan hentakan tidak begitu dirasai biar pun terlanggar lubang di permukaan jalan.

PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

Pemilihan tayar juga penting, dengan tayar Toyo Proxes R56 yang membaluti rim aloi berukuran 18-inci, ia bukan sekadar memberikan keselesaan pemanduan, bahkan bunyi tayar juga tidak begitu kedengaran memasuki bahagian kabin.

Cuma sistem brek yang menggunakan cakera ventilated untuk hadapan dan cakera solid di belakang terasa ada sedikit kelemahan. Terasa sedikit lembut dan jika mahu mengurangkan kelajuan selepas pecutan, adakalanya pedal brek perlu dipijak sepenuhnya. Saya turut mencubanya pada unit diesel, sama saja ‘rasanya’.

Dengan adanya sistem G-Vectoring Control (GVC) pula, ia membantu mengawal tork enjin supaya berat badan kenderaan dapat diubah kepada keadaan yang dapat membantu cengkaman. Sebenarnya susah juga nak rasa bila masa GVC ini berfungsi kerana ia terasa normal.

Bagi penggunaan bahan apinya pula, dengan tangki minyak berkapasiti 51 liter, ia dianggarkan menggunakan sekitar 6.4 liter bagi setiap 100 km.

PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

Kalau dilihat secara sekilas, CX-30 dan Mazda 3 hatchback tidak banyak berbeza, biar pun CX-30 dibangunkan sebagai SUV crossover. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak antara roda 2,655 mm. Untuk memudahkan anda bayangkan saiznya, dimensi bagi CX-3 adalah 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, bersama jarak roda 2,570 mm, manakala CX-5 pula adalah 4,550 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,675 mm tinggi bersama jarak roda 2,700 mm.

Walau bagaimana pun, CX-30 menerima sentuhan rekaan terkini Kodo Soul of Motion ciptaan Mazda. Garisan bumbungnya kelihatan lebih melunjur umpama model coupe, itu antara daya tarikan luaran SUV crossover ini. Selain itu, refleksi berbentuk-S jelas kelihatan pada bahagian sisinya, merentasi pintu hadapan ke pintu penumpang belakang.

Untuk varian 2.0 High ini, sama seperti model spesifikasi tertinggi 1.8D, ia turut dipadankan dengan lampu utama LED umpama mata sepet bersama pencahayaan signatur Mazda. Seperti barisan model Mazda terbaharu, lampu utama tersebut bersambung dengan gril radiator, menampakkan imej yang sedikit garang. Manakala bahagian belakang juga dipadankan dengan lampu LED juga dengan pencahayaan signatur “sepet” dan pintu tailgate berkuasa.

Ciri luaran lain yang turut ditampilkan termasuklah cermin sisi berkuasa bersama lampu isyarat membelok, bumbung suria, penderia parkir hadapan dan belakang serta spoiler belakang yang merupakan ciri standard untuk semua varian.

Menjengah bahagian kabinnya, hitam menjadi warna latar utamanya. Papan pemukanya tidak begitu sarat, paparan head unit sama seperti model baharu Mazda yang lain. Susunan corong pendingin hawa sebaris mengingatkan penggayaan pada Honda HR-V.

Ciri dalaman lain yang turut ditampilkan untuk dua varian tertinggi ini termasuklah sistem kawalan suhu automatik dua-zon lengkap dengan corong dan kawalan berasingan di belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala dengan memori dan upholsteri kulit hitam.

PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

Bagi sistem hiburan, kesemua varian diberikan sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin 8.8-inci, fungsi kawalan menggunakan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth serta boleh dikawal dengan suis Commander Control. Bunyi dari sistem tersebut disalurkan kepada lapan pembesar suara, dan skrin utama turut memaparkan imej dari kamera undur lengkap dengan garisan panduan.

Bagi keselesaan sebagai penumpang, saya boleh labelkan ia juga terletak di skala sederhana. Kedudukan penyandar tempat duduk belakang yang menegak, ada masanya menimbulkan kurang rasa selesa terutamanya jika melibatkan perjalanan jauh.

Bagi aspek keselamatan, CX-30 ini dilengkapi dengan 7 beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), brek dengan sistem ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan kunci pintu automatik dan amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk setiap tempat duduk dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Kesemua ciri tersebut adalah standard untuk ketiga-tiga varian.

Tambahan ciri keselamatan untuk 2.0 High (termasuk 1.8D) ialah lampu hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perhatian pemandu, brek kecemasan autonomous (AEB) dan cruise control adaptif kawalan radar Mazda (MRCC).

Secara konklusinya, daripada sudut penggayaan luaran dan dalaman, CX-30 ini mampu mengalahkan pencabar terdekatnya termasuk Honda HR-V dan setanding dengan Toyota CH-R yang turut menampilkan imej ranggi dan menawan. Tetapi jika dibandingkan daripada sudut prestasi, CX-30 ‘tewas’ di tangan Subaru XV yang lebih ‘umpph’ dikendalikan.

Tentang harganya pula, CX-30 paling mahal berbanding ketiga-tiga pencabar terdekatnya itu. Salah satu faktornya, CX-30 dibawa masuk dari Jepun, jadi tunggulah Bermaz memulakan pemasangan tempatan (CKD) dan pastinya harganya akan sedikit berkurangan berbanding penawaran sekarang. Jadi, dengan segala variasi yang ada untuk kategori SUV crossover ini, mana yang lebih berada di tangga teratas pilihan anda?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required