Sebelum ini rekaan kenderaan Polestar kelihatan banyak mempunyai persamaan dengan rekaan syarikat induknya iaitu Volvo. Tapi kini, melalui model konsep terbaru mereka yang dinamakan sebagai Precept Concept, ia seperti sudah menemui identiti sendiri.
Walaubagaimanapun, tanda unik seperti lampu Thor’s Hammer masih digunakan, namun Polestar menjadikannya unik dengan memisahkan bahagian atas dan bawah. Gril biasa diganti dengan panel SmartZone yang menempatkan pengesan radar dan kamera definisi tinggi untuk sistem bantuan pemandu. Semua sensor ini dijadikan sebagai sebahagian daripada rekaan kenderaan, dan disebabkan itu juga anda boleh melihat jelas pod LIDAR di atas bumbung.
Untuk bahagian bonet, Polestar menggunakan lekuk hampir seperti Ferrari 488 Pista, di mana ia dapat meningkatkan aliran udara atas bonet dan mempertingkat ciri aerodinamik, sekaligus membantu memberikan jarak gerak yang lebih jauh (kereta ini menggunakan kuasa elektrik).
Precept adalah sebuah kereta yang agak panjang, dengan ukuran jarak roda 3.1 meter. Ia bukan sahaja membantu memberikan ruang untuk bateri yang terletak di bawah lantai, tetapi juga menghasilkan rupa yang menarik apabila digabungkan dengan garis bumbung seperti coupe.
Antara ciri rekaan unik lain yang terdapat pada Precept adalah seperti kamera menggantikan cermin sisi, bukaan pintu suicide, tingkap tanpa kerangka dan b-pillar, tiada cermin belakang (pandangan belakang datang daripada kamera) dan bumbung yang keseluruhannya dibuat daripada cermin.
Bahagian dalam melibatkan rekaan yang ringkas dan kemas, dengan papan pemuka yang nipis, tetapi di tengahnya terdapat skrin sesentuh 15 inci menegak yang agak besar untuk sistem infotainmen dan panel instrumen 12.5 inci di hadapan pemandu. Teknologi pengesan mata akan membantu melaras informasi yang dipaparkan antara dua skrin ini, bergantung kepada penglihatan pemandu, manakala skrin di tengah juga boleh dikawal dengan pergerakan tangan (tanpa sentuhan).
Empat tempat duduk berasingan disediakan dalam Precept, dan di tengahnya terdapat perehat tangan yang mempunyai tombol kawalan audio. Kemasan emas yang sudah menjadi tanda unik jenama ini dapat dilihat pada tali pinggang keledar serta angkup brek.
Sebagai sebuah syarikat yang mementingkan aspek mesra alam, Polestar menggunakan bahan komposit Bcomp pada beberapa bahagian seperti panel pintu dan bahagian belakang tempat duduk, dan ia memberikan pengurangan berat sebanyak 50% dan menyumbang kepada pengurangan sebanyak 80% terhadap pembaziran plastik.
Permukaan tempat duduk pula dikait secara 3D daripada plastik kitar semula, manakala bahagian tepi tempat duduk dan penyandar kepala dibuat daripada gabus kitar semula. Karpet adalah daripada jaring menangkap ikan kitar semula. Memandangkan ini adalah kereta konsep, perincian teknikal lain tidak didedah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.