Kalau pasal iklan, Volvo sentiasa hadir dengan idea tersendiri yang membuka mata. Jika pada era 80’an dahulu mereka pernah menghasilkan iklan dengan menyusun tujuh-buah Volvo 700-series secara bertingkat bagi menunjukkan ketahanan dan kestabilan kereta tersebut, kini mereka sekali lagi melakukan perkara yang sama tetapi menggunakan empat-buah trak baharu yang bakal dilancarkan serentak.
Trak-trak tersebut adalah dari siri FH, FH16, FM, dan FMX yang telah menerima kemaskini, disusun secara bertingkat antara satu sama lain dengan ketinggian keseluruhan 15 meter dan berat keseluruhan 58 tan. Pada tingkat paling bawah adalah trak Volvo FMX bagi mendemonstrasikan kestabilan sistem dua gandar di hadapan dan sistem stereng dinamik.
Trak Volvo FMX berkenaan dipandu oleh pemandu wanita, Bodil Alexandersson manakala pada trak Volvo FM di tingkat paling atas, presiden Volvo Truck sendiri iaitu Roger Alm kelihatan berdiri dan seolah-olah adalah seorang ‘bomoh Sweden’ yang mengemudi menara trak berkenaan dalam cuaca hujan lebat dan kilat sabung-menyabung.
“Kami buat ini dengan keghairahan dan minat mendalam untuk membawa barisan produk terbaharu ke pasaran,” kata Alm.
“Saya biasanya berada dipuncak dalam pelbagai perkara, tetapi untuk penggambaran di puncak menara trak adalah satu hari yang luar biasa buat saya. Dan katakan saja saya mempunyai rasa hormat pada ketinggian. Saya sebenarnya orang yang sangat merendah diri,” kata bos Volvo Truck itu lagi.
Penggambaran iklan ini dibuat pada akhir tahun lalu di pusat ujian Volvo di Gothenburg, Sweden. Menurut Volvo, menara trak dan kebanyakkan kesan visual pada iklan ini adalah benar, termasuk asap dan lampu seperti yang ditunjukkan dalam video disebalik tabir.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.