Susulan kepada selesainya kerja pembinaan terowong bawah tanah di Lebuhraya KL-Seremban berdekatan Sungai Besi, pembinaan MRT jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) kini 70% siap.
Pengarah Projek MRT Corp SSP Line, Datuk Amiruddin Ma’aris menjelaskan, kerja-kerja berkaitan terowong itu yang selesai Sabtu lalu menandakan lengkapnya kerja penggalian bagi terowong kedua yang ada itu, pada kedalaman antara 4.7 meter dan 5 meter di bawah lebuhraya yang sibuk berkenaan. Terowong pertama selesai ditebuk pada 25 Februari lalu, lapor Bernama.
Kejayaan pembinaan terowong bawah tanah berkenaan menunjukkan kesungguhan MRT Corp sebagai pemilik projek, pasukan pembinaan dar MMC Gamuda KVMRT sebagai kontraktor utama dan WCT Bhd sebagai kontraktor pakej kerja untuk menyelesaikan projek berkenaan mengikut masa, jelas beliau dalam satu kenyataan.
Terletak di antara Taman Naga Emas dan stesen Sungai Besi, sepasang terowong yang terlibat itu mempunyai diameter 5.8 meter dan 60 meter panjang. Pembinaannya dilakukan dengan gabungan pelbagai kaedah. Ia bermula pada Mac 2019, dan sepanjang tempoh itu lebuhraya di atasnya tetap dibuka kepada trafik.
Menurut Amiruddin lagi, fasa satu bagi MRT jajaran SSP antara stesen Kwasa Damansara dan Kampung Batu akan mula beroperasi menjelang pertengahan 2021, sementara bahagian lain jajaran sama dijangka dibuka pada 2022.