Sempadan antara Johor dan Singapura baru sahaja ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac nanti yang telah diumumkan kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19. Namun dalam laporan terbaharu yang disiarkan oleh The Star, kerajaan Johor nampaknya berharap ia akan dibuka semula dalam berberapa hari lagi.
Menurut Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, pembukaan semula sempadan tersebut bukanlah akan dilakukan seperti biasa, sebaliknya ia akan dilakukan dengan pemeriksaan kesihatan yang lebih ketat di kedua-dua belah sempadan.
“Kami akan umumkan pelan pengurangan kesan semasa wabak Covid-19 ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis eksekutif negeri.
“Antara kategori yang dikecualikan ialah mereka yang memegang pas kerja oleh Malaysia atau Singapura, pelajar yang menuntut di Singapura, mereka yang mempunyai kemahiran khusus, ahli perniagaan, mereka yang terlibat dalam logistik, dan lain-lain yang akan diumumkan tidak lama lagi,” jelasnya lagi.
Katanya lagi, jawatankuasa khas itu diketuai oleh beliau sendiri, selain setiausaha negeri dan majlis keselamatan negeri. Mereka juga akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di Singapura mereka pada selepas ini sebelum mengemukakan perkara itu kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat pengumuman.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.