Tentera bakal bantu polis kawal keadaan mulai 22 Mac ini bagi Perintah Kawalan Pergerakan – DS Ismail Sabri

Tentera bakal bantu polis kawal keadaan mulai 22 Mac ini bagi Perintah Kawalan Pergerakan – DS Ismail Sabri

Berita terbaharu yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Bernama TV melaporkan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan mulai 22 Mac 2020 (Ahad ini), tentera akan membantu polis dalam memantau keadaan yang berlaku kini terutamanya bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Ismail Sabri turut menegaskan agar orang ramai jangan mempersoalkan kuasa polis dan tentera dalam hal keselamatan negara.

“Dari laporan pihak polis, peratusan pematuhan oleh rakyat makin meningkat. Terima kasih atas kerjasama ini.Walau bagaimana pun, masih ada insiden di mana ada yang ingkar dengan arahan pihak polis. Ini termasuk ada yang membawa anak-anak bermain di taman permainan kanak-kanak, makan di restoran dan sebagainya. Walau pun diminta bersurai, tapi masih ramai yang berdegil.

“Walau bagaimana pun pihak polis memaklumkan, ada sampai tahap individu yang degil yang tidak boleh berkompromi dengan nasihat yang diberikan oleh polis, maka tindakan lebih tegas boleh diambil termasuk tangkapan. Namun jika boleh, kita tidak mahu perkara itu berlaku. Mengenai perintah darurat, kerajaan tiada niat untuk mengumumkannya. Tiada aset tentera yang digerakkan untuk perintah darurat seperti yang disebarkan semalam. Diharap rakyat tidak mudah percaya dengan berita palsu ini,” tegas Ismail Sabri.

Tentera bakal bantu polis kawal keadaan mulai 22 Mac ini bagi Perintah Kawalan Pergerakan – DS Ismail Sabri

Perkara ini terpaksa diputuskan memandangkan masih ramai orang awam yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula dilaksana sejak tiga hari lalu. Sejak hari pertama pelaksanaannya, begitu banyak video yang dimuat naik di laman media sosial oleh netizen yang memaparkan ragam orang ramai yang tidak mengendahkan larangan untuk tidak berada di luar rumah. Masih ramai yang bersesak-sesak di pasar pagi, menjamu selera di kedai makan, berpiknik di tepi pantai dan melepak secara berkumpulan.

Walau pun pada malam pertama pelaksanannya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya berulang kali meminta dan merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk diam-diam di rumah dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac.

Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu ke mana-mana. Dengan cara ini saudara saudari terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan penularan wabak ini insya-Allah dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan,” ujar beliau dalam perutusannya itu. Malah berkali-kali beliau mengulangi ayat “Just stay at home” atau “Duduk saja di rumah”. Sedihnya, masih ramai yang tidak mengendahkannya.

Menurut Ketua Polis Negara pula, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pada masa ini pihaknya masih menggunakan pendekatan memberi amaran dan nasihat kepada orang awam yang mengingkari arahan kerajaan untuk berada dalam rumah, kecuali membabitkan pekerja dan kakitangan perkhidmatan penting.

Tentera bakal bantu polis kawal keadaan mulai 22 Mac ini bagi Perintah Kawalan Pergerakan – DS Ismail Sabri

“Jadi disebabkan inilah pihak kami mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya dengan keseluruhan jumlah semalam membabitkan 504 sekatan. Selain sekatan jalan raya, pihak polis turut mewujudkan pasukan tertentu yang memantau lokasi panas yang menjadi tumpuan orang ramai yang masih berdegil dan berkumpul.

“Saya berharap kita dapat mencapai sasaran sebanyak 80 hingga 90% jumlah orang awam yang mengikut arahan kerajaan. Mungkin boleh mencecah 95% dan dianggap baik. Saya harap orang ramai faham ya. Jangan biarkan sampai ke tahap bahaya nanti kami terpaksa mengambil tindakan lebih drastik dengan melakukan tangkapan. Janganlah sampai ke tahap itu. Apa yang penting kita tidak mahu tambahkan lagi risiko jangkitan COVID-19 ini,” katanya seperti yang disiarkan dalam Berita Harian.

Hamid berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang baik dalam usaha bersama menangani jangkitan Covid-19 daripada menular dan merebak kepada orang lain.

Menurut undang-undang Malaysia, orang awam yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK). Seksyen 186 KK berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, manakala Seksyen 188 KK berkaitan mengingkari perintah yang diisytiharkan, oleh penjawat awam.

Semalam, seorang individu telah direman selama tiga hari sehingga 23 Mac mengikut Seksyen 186/509 Kanun Keseksaan kerana enggan memberi kerjasama dengan polis ketika ditahan bagi pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan di Labis, Segamat. Menurut laporan Harian Metro, lelaki berkenaan didapati bertindak agresif yang menyerang anggota polis yang menjalankan pemeriksaan terhadapnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required