Ada sesetengah pihak menganggap hukuman penjara yang dikenakan terhadap pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya golongan remaja adalah tidak wajar. Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) antara yang merayu kepada kerajaan supaya mempertimbangkan hukuman perintah khidmat masyarakat terhadap pesalah muda, bukannya penjara.
Bagaimana pun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak berkuasa mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana tiada khidmat masyarakat boleh dijalankan sepanjang tempoh PKP, laporan MalaysiaKini.
Perkara ini turut mendapat perhatian kerajaan, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan isu hukuman penjara terhadap pesalah PKP akan dibincangkan antara Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara, dalam masa terdekat.
“Mesyuarat Jawatankuas Khas Menteri-Menteri mengenai PKP bersetuju supaya pihak Peguam Negara, PDRM dan Jabatan Penjara untuk membincangkan isu ini supaya dapat diselesaikan segera,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Dalam masa yang sama, beliau turut memberi peringatan agar jangan sesekali orang awam cuba mengganggu tugas atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap petugas keselamatan.
“Tolong beri kerjasama kepada pihak polis. Jangan cuba untuk menghalang tugas mereka atau memaki hamun. Seperti yang saya katakana bahawa ‘mood’ dari segi penguatkuasaan pihak polis telah berubah daripada menasihat kepada tegas dan kini keras,” tegasnya lagi.
Baru-baru ini, Jabatan Penjara turut meminta mahkamah supaya berhenti menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar PKP, memandangkan langkah itu akan menyebabkan kesesakan di penjara, selain menjadi punca penularan wabak COVID-19 di dalam penjara.
Susulan itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat menggesa pegawai kehakiman untuk mengambil pertimbangan, berhubung masalah risiko penularan wabak COVID-19 sekiranya pesalah dipenjarakan. Beliau turut mencadangkan supaya pesalah pelanggaran PKP dikenakan hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat, tanpa menjalani hukuman pemenjaraan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.