Hyundai Grand Starex 2020 kini di M’sia – 2 varian bermula RM164k, kit badan & upholsteri kulit standard

Hyundai Sime Darby Malaysia telah memperkenalkan dua varian baharu dalam barisan model facelift MPV 11-tempat duduk Hyundai Grand Starex iaitu Executive Plus dijual pada harga RM163,888 dan Executive Prime berharga RM173,888. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama waranti lima-tahun atau 300,000 km.

Dengan pengenalan dua model ini, versi asas Executive berharga RM148,888 yang telah diperkenalkan pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 kini tidak lagi dijual.

Kedua-dua model ini masih kekal dengan enjin yang sama iaitu unit turbodiesel 2.5 liter empat-silinder VGT yang berkuasa 170 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 2,000 hingga 2,250 rpm. Kesemua kuasa dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear lima-kelajuan dengan sistem shiftronic.

Hyundai Grand Starex 2020 kini di M’sia – 2 varian bermula RM164k, kit badan & upholsteri kulit standard

Kesemua model didatangkan standard dengan rim rekaan baharu 16-inci bersama tayar 215/70R16, lampu hadapan halogen projektor bersama lampu kabus, lampu nyalaan siang LED baharu dengan empat-poin dan kemasan sekeliling hitam, dan juga kit badan lebih labuh lengkap pada bampar hadapan dan belakang serta skrit sisi yang diberikan kemasan kontras berwarna kelabu.

Pada bahagian dalaman pula, kedua-dua model Grand Starex ini datang standard dengan tempat duduk balutan kulit penuh (berbanding hanya opsyen sebelum ini), dan juga fungsi boleh putar kebelakang untuk tempat duduk baris kedua.

Selain itu ciri standard lain yang turut dibekalkan termasuk monitor bumbung dan penghembus udara sistem pendingin hawa untuk kabin belakang, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh dan boleh memainkan DVD, empat pembesar suara serta tiga port USB (satu khas untuk mengecaj).

Untuk membezakan dua varian tersebut, versi tertinggi Executive Prime ditambah dengan pintu tailgate belakang berkuasa, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin dan pintu gelangsar bantuan kuasa (hanya sebelah, dua-belah ditawar sebagai opsyen).

Namun untuk keselamatan kedua-dua varian ini masih berkongsi spesifikasi dengan dibekalkan empat beg-udara, sistem brek ABS dan BA, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem traction control. Kedua-dua model ini juga disertakan dengan sistem cruise control, kawalan lampu automatik, kamera undur serta amaran jarak ketika parkir.

Empat warna badan ditawarkan untuk Grand Starex ini iaitu Creamy White, Moonlight Cloud, Timeless Black, dan Taiga Brown. Untuk lebih perincian berkenaan spesifikasi Grand Starex ini, anda boleh layari laman CarBase.my.

Tags: