Pengedar Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) mengumumkan versi lebih sporty untuk trak pikap Ranger XLT iaitu Ranger FX4 versi kemaskini akan dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia pada 3 Jun ini. Anda boleh tonton siaran langsung majlis berkenaan menerusi YouTube dan juga Facebook Live.

Seperti model sebelumnya, FX4 yang diasaskan dari Ranger T6 facelift ini akan diberikan penampilan lebih garang dengan pemadanan aksesori dan kemasan-kemasan berwarna gelap. Antaranya termasuk gril hadapan dengan rekaan lebih tersendiri berwarna Ebony Black, serta bampar hadapan dan belakang, penutup cermin sisi dan kesemua pembuka pintu juga diberikan warna hitam.

Penampilan Ranger istimewa ini disudahkan dengan pelekat badan ‘FX4’ bersama emblem 3D di belakang, manakala rim aloi 18-inci model ini tampil dalam kemasan Ebony Black dan dibaluti tayar 265/60R18.

Pada bahagian dalaman pula, Ranger FX4 ini akan diberikan tempat duduk balutan kulit berwarna hitam dengan cop logo ‘FX4’. Bahagian atas papan pemuka juga akan diberikan panel sentuhan lembut berwarna Ebony Black dan serlahan jahitan benang Race Red pada roda stereng , tombol gear serta karpet kaki.

Kelengkapan lain untuk FX4 ini masih kekal sama seperti Ranger XLT, termasuk sistem infotainmen Ford SYNC 3 dengan skrin lapan-inci yang disokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, enam-pembesar suara, paparan pelbagai info dengan skrin berwarna 4.2-inci, tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik empat-hala serta cermin sisi boleh-lipat elektrik.

Di Australia, selain dari warna badan Shadow Black, Ranger FX4 ini turut ditawarkan dengan warna lain seperti Arctic White, True Red, Meteor Grey dan Aluminium Silver. Namun untuk pasaran Malaysia, pilihan warna ini hanya akan diumumkan oleh SDAC ketika pelancarannya nanti.

Tiada perubahan sistem mekanikal diberikan, di mana Ranger FX4 akan dijana oleh enjin Puma yang sama seperti XLT iaitu unit 2.2 liter TDCi VGT Turbodiesel berkuasa 160 PS dan tork maksima 385 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik dan juga sistem 4WD bersama locking differential pada gandar belakang yang boleh diaktifkan dengan sistem elektronik.

SDAC turut mengumumkan 150 pembeli terawal Ford Ranger FX4 ini akan menerima aksesori tambahan bernilai RM5,398 secara percuma. Aksesori tersebut termasuk sports bar berwarna hitam matte (komponen ini merupakan aksesori standard untuk FX4 pasaran lain), filem penapis haba tingkap eksekutif dan juga dashcam bina-dalam dengan kualiti rakaman HD.

Jika anda mahu menjadi 150 pelanggan terawal ini dengan menempah FX4 sebelum ia dilancarkan, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi Wakil Jualan Digital Ford di talian +60192041200, pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 9 pagi hingga 4 petang kecuali hati cuti umum. Dari sini, satu saluran WhatsApp khas akan menghubungkan pelanggan kepada jurujual Ford di pengedar yang berhampiran.