Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

Kalau pun tidak ramai, pasti ada antara kita yang pernah terfikir untuk membeli sebuah kereta yang ringkas dengan kotak gear manual. Kelengkapan asas perlu ada (seperti ABS dan kawalan kestabilan – paling minimum). Maka, Perodua Bezza dan Axia, atau Proton Saga manual tidak termasuk dalam senarai pilihan, disebabkan semua model itu tidak datang dengan ciri kawalan kestabilan, malahan bagi Axia paling asas, ABS pun tak ada.

Ini menjadikan pilihan yang masih tersisa sangat sedikit, iaitu Proton Iriz dan Persona serta Perodua Myvi – ini model paling asas bagi ketiga-tiganya bagi mereka yang inginkan kereta dengan kotak gear manual. Jika mengambil kira harga yang murah serta “track record” faktor keselamatan yang baik dan meyakinkan, maka Iriz punyai kelebihan itu.

Ia satu pilihan yang mudah dan jelas, cuma agak mengecewakan kerana kita tak mempunyai lebih banyak pilihan untuk kereta dengan kotak gear manual. Kereta jenis ini biasanya sama ada dipandu oleh mereka yang mudah dengan kereta permulaan yang ringkas dan kedua, oleh mereka yang tetap ingin memandu kereta manual kerana sudah terbiasa – dan tak ingin beralih kepada transmisi automatik.

Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

Mereka inilah benteng terakhir yang akan menjadikan transmisi manual kekal relevan, tetapi penawaran tersebut juga haruslah datang sekali dengan aspek keselamatan minimum yang boleh diterima akal. Ini menjadikan pilihan yang ada sangat sedikit sebenarnya. Kelompok ini juga semakin hari semakin berkurangan.

Pendekatan untuk memperkenalkan varian manual yang semakin berkurangan ini juga agak baru dilakukan. Kotak gear manual bagi Axia pernah ditawarkan sehingga spesifikasi SE ketika mula diperkenalkan pada 2014 dahulu. Tetapi, kini ia hanya ditawarkan pada varian E yang paling asas sahaja bagi versi facelift 2019 yang terbaru. Sama juga ceritanya dengan Bezza – sebelum ini versi MT boleh didapati untuk varian 1.3 Premium X, tetapi kini hanya ada untuk varian 1.0 Standard G sahaja.

Bagi Myvi, model generasi sebelum ini ditawarkan dengan versi manual sehingga varian 1.5 SE, tetapi sejak model terbaru diperkenalkan pada 2017, itu hanya boleh didapati dengan varian 1.3 Standard G sahaja. Permintaan bagi kotak gear kini semakin rendah, sehingga Proton juga terpaksa mengikut corak ini.

Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

Saga dan Persona pernah ditawarkan dalam varian Executive MT sehingga 2016, sebelum ia hanya ditawarkan untuk varian asas Standard sahaja selepas itu. Iriz lebih ekstrem lagi; ia pernah diperkenalkan dengan transmisi manual bagi setiap pilihan enjin, termasuk 1.6l Premium. Tetapi kini itu hanya ada untuk varian 1.3 Standard.

Mengapa berlaku pengurangan penawaran bagi kotak gear manual seperti ini. Jawapannya mudah; kerana tak ramai orang yang membeli kereta manual lagi, tak seperti dulu. Permintaan terhadap kereta dengan spesifikasi yang lebih tinggi dan enjin yang lebih besar dengan kotak gear manual hampir tiada lagi. Maka pengeluar tidak ada alasan lagi kenapa ia perlu ditawarkan lagi, setidak-tidaknya bagi varian dengan kelengkapan yang lebih tinggi. Kelompok yang berminat dengan transmisi manual juga tidak mempunyai jumlah yang besar untuk mendorong atau merancakkan lagi penawaran ini.

Iriz 1.6 Premium MT mungkin contoh yang paling baik. Khabar angin mengatakan hanya ada antara 400-500 unit sahaja varian itu dikeluarkan sebelum ini, itu pun mengambil masa yang agak lama untuk dihabiskan stoknya. Kemudian, tak ada permintaan lagi untuk membolehkannya dikeluarkan semula. Sama juga kesnya dengan Perodua.

Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

Kini, kotak gear manual hanya digunakan untuk mengurangkan harga bagi model paling asas, itu sahaja. Permintaannya semakin hari semakin berkurangan. Perodua Aruz misalnya tidak langsung ditawarkan dengan transmisi manual. Toyota pula telah berhenti menawarkan Vios J MT selepas pengenalan versi terbarunya tahun lalu. Dan, jika Nissan Almera masih ada versi manual, itu mungkin akan terhapus dengan pengenalan model 2020 nanti. Kia Picanto manual pun baru-baru ini telah digugurkan.

Teruk sangatkah permintaan terhadap kotak gear manual? Sebagai contoh, bagi tahun 2019, Proton hanya menjual lima peratus daripada semua jualan Saga adalah versi manual. Ini diikuti dengan tiga peratus sahaja bagi Iriz, dan dua peratus sahaja bagi Persona yang dijual dalam versi MT. Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, kurang daripada 2,700 unit daripada 67,000 unit Saga, Iriz dan Persona yang terjual terdiri daripada model manual. Dicampur semua, itu kurang daripada empat peratus!

Perodua pula enggan berkongsi pecahan jualan model manual syarikat itu. Tetapi bolehlah dianggap tidak jauh berbeza dengan kes Proton. Pada 2016, Perodua ada memaklumkan daripada 25,000 tempahan untuk Bezza, hanya empat peratus model manual. Sejak itu, tiada lagi Bezza 1.3 MT; ini juga satu petunjuk kepada penurunan permintaan varian MT.

Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

Hakikatnya kini, walaupun ramai yang banyak bunyi dan menyatakan akan membeli model manual, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ini kes yang sama dengan kereta-kereta yang lebih beraspirasi sebagai jentera manual. Ambil contoh Mazda MX-5. Ramai yang kata mereka akan membeli model manual berkenaan sekiranya Bermaz membawa masuknya ke Malaysia. Tetapi, selepas pengenalan MX-5 RF, apa yang dicanang itu tidak pun menjadi kenyataan.

Nombor tak akan berbohong. Pengeluar tidak akan menghentikan penawaran kotak gear manual sekiranya ada permintaan. Jadi, jika ramai yang masih mendambakan kereta manual, jangan salahkan pengeluar sekiranya ia tidak lagi ditawarkan kelak; kerana permintaan yang semakin menyusut. Apa pandangan anda? Patutkah kita ramai-ramai menyemarakkan kembali permintaan terhadap kereta MT atau biarkan sahaja ia berkubur kerana tak lagi ada permintaan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • alldisc on Jul 02, 2020 at 8:25 pm

    Gen2 CPS manual. Yahoo.. Keta paling power bawah 10k. 125bhp Dan tak lebih 15 tahun (tua sangat)

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
  • Tg Ridzuan on Oct 10, 2021 at 7:31 am

    Ya memang sangat terhad pengeluaran kereta/SUV dengan kotak gear manual. Saya memang lebih selesa dengan pemanduan manual sebab memang sudah terbiasa dan pada pendapat saya terdapat juga ciri keselamatan secara tidak langsung dengan pemanduan manual seperti kita sentiasa peka dengan kelajuan pada setiap gear yang digunakan dan kawalan pemanduan lebih mantap dengan gear yang sesuai. Saya bermula dengan Proton Saga Iswara Aeroback manual kemudian bertukar kepada Proton Saga BLM manual (masih disimpan di kampung) kemudian atas faktor keselesaan (mudah isteri untuk memandu) Honda City menjadi pilihan. Tetapi sebagai pemandu tegar manual saya mengeluarkan modal untuk membeli sebuah Proton Satria manual (Proton Lover) sebagai kenderaan harian ke tempat kerja sehingga kini. Please let there be more manual variant in the next model, Proton especially. Thanks

    Like or Dislike: Thumb up 6 Thumb down 0
  • NORSALAMI BIN RAMLEE on Oct 11, 2021 at 12:08 am

    Kan,aku pun tertnya2 mana kereta manual terbaru,dari remaja ke dewasa tua,dah biasa pakai kenderaan manual,jadi kekok bila kadang2 bawak auto,biasa 3 pedal,dah jadi dua,kaki kiri *park* je..cara orang malas,memang la senang memndu auto,tapi yg biasa manual ke auto ni memang akan agak kekok..Aku pun tertnya-tnya,memng manual ni akan pupus ke tuk generasi baru skrg ni..siapa kita nak suarakan masalah ni..harap ada penjelasan.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • NORSALAMI BIN RAMLEE on Oct 11, 2021 at 12:09 am

    Kan,aku pun tertnya2 mana kereta manual terbaru,dari remaja ke dewasa tua,dah biasa pakai kenderaan manual,jadi kekok bila
    kadang2 bawak auto,biasa 3 pedal,dah jadi dua,kaki kiri *park* je..cara orang malas,memang la senang memndu auto,tapi yg biasa manual ke auto ni memang akan agak kekok..Aku pun tertnya-tnya,memng manual ni akan pupus ke tuk generasi baru skrg ni..siapa kita nak suarakan masalah ni..harap ada penjelasan.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • kenapa tak buat pre-order untuk kereta manual?
    daripada syarikat tu keluarkan sejumlah kereta tapi tak terjual, kenapa tidak buat hanyak kepada yang betul-betul mencari.
    sekarang nak mencari kereta manual yang bagus hanyalah kereta terpakai sahaja. kalau boleh nak kereta manual baru yang spec nya sama bagus dengan kereta auto

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required