Aston Martin Kuala Lumpur telah memperkenalkan Aston Martin Vantage AMR Malaysia Edition, dan ia kini sudah berada di pusat pameran di KL. Model ini sebenarnya bukanlah Vantage AMR yang sebenar, tetapi adalah Vantage V8 yang dipasang kit khas inspirasi daripada Vantage AMR. Syarikat itu memberitahu model ini disediakan dalam unit yang terhad dan hanya ada satu di Malaysia.

Antara contoh yang boleh dilihat menyatakan ini bukan Vantage AMR yang sebenarnya adalah tiada jalur pelekat hijau terang di bahagian tengah kenderaan sementara di dalam pula tombol gearnya jelas menunjukkan ia adalah model automatik dan bukannya manual. Angkup brek juga berlainan.

Walaupun begitu, ubah suai inspirasi daripada Vantage AMR yang digunakan adalah seperti bahagian bawah gril serta diffuser yang dicat warna Lime Essence, memberi kontras kepada warna badan Arden Green. Model ini juga dipasang dengan pakej kemasan luar gentian karbon, gril dan muncung ekzos hitam matte, serta bumbung dan cermin sisi hitam berkilat.

Pada bahagian dalam, warna utama untuk kemasan adalah perak satin, tetapi ada beberapa bahagian seperti konsol tengah dan panel pintu yang menggunakan warna Lime Essence seperti luar. Benang jahitan pada tempat duduk Sports Plus serta papan pemuka juga menggunakan warna sama.

Kelengkapan lain yang dipasang pada model ini adalah rim 20 inci, roda stereng Sports+ yang rata di bawah, sistem audio Aston Martin Premium Audio skrin paparan tengah LCD lapan inci, tempat duduk berliang udara dan kamera 360 darjah.

Vantage V8 dikuasakan oleh enjin V8 twin turbo 4.0 liter M177 Mercedes-AMG yang mampu menghasilkan 510 PS pada 6,000 rpm dan 685 Nm tork antara 2,000 hingga 5,000 rpm, dihantarkan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan ZF. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.6 saat sementara laju maksimum pula adalah 314 km/j.

Untuk kelengkapan elektronik, antara yang datang terus adalah sistem penyerap adaptif Skyhook yang menyediakan mod Sport, Sport Plus serta Track, DSC, Positive Torque Control serta differential belakang dengan pengunci elektrik (E-Diff) yang boleh bekerjasama dengan sistem kawalan stabiliti kenderaan.

Tiada harga yang disiarkan untuk Vantage AMR Malaysia Edition ini, tetapi jika melihat kepada Vantage V8, harganya adalah RM1.6 juta termasuk duti semasa ia dilancarkan pada bulan Ogos 2018.