Porsche Taycan bakal dilancar di M’sia tahun ini – SDAC rai ulangtahun ke-10 sebagai pengedar rasmi

Porsche Taycan bakal dilancar di M’sia tahun ini – SDAC rai ulangtahun ke-10 sebagai pengedar rasmi

Pada September 2019, Porsche telah pun memperkenalkan model Taycan di peringkat dunia, dan berita baik untuk peminat automotif di Malaysia, model kenderaan elektrik (EV) sporty ini bakal tiba di pasaran tempatan tahun ini. Itu pun kalau pengedar rasmi Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) masih kekal dengan perancangan mereka.

Setakat ini, tiada perancangan untuk menundakan pelancaran Taycan pada tahun 2021, kerana ia telah pun disahkan menerusi video yang dimuatnaik di FB Porsche Malaysia sendiri yang EV berkenaan akan diperkenalkan tahun ini. Walau bagaimana pun, tiada tarikh tertentu yang dinyatakan, cuma menyatakan perkataan “akan datang” menerusi klip berkenaan.

Malahan, tidak diketahui varian Taycan yang bakal ditawarkan untuk pelanggan di Malaysia. Secara global, EV ini ditawarkan dengan empat pilihan, termasuk model standard, 4S, Turbo dan Turbo S. Di mana varian Turbo S adalah yang paling berkuasa, dengan dua motor elektrik yang mampu memberikan 761 PS (751 hp) dan tork 1,050 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 2.8 saat dan kelajuan maksimum mencecah 260 km/j.

Sementara itu, varian Turbo dan 4S memilik larasan dwi-motor yang sama, iaitu 680 PS (671 hp) dan 850 Nm untuk Turbo serta 4S pula dengan 530 PS (523 hp) dan 640 Nm. Porsche juga memberikan 4S dengan peningkatan Performance Battery Plus (standard bagi Turbo dan Turbo S), dengan lonjakan kuasa sehingga 571 PS (563 hp) dan 650 Nm.

Manakala Taycan standard sebagai model asas dan merupakan edisi terkini dalam barisan Taycan, menerima motor elektrik tunggal pada gandar belakang, mampu memberikan sehingga 408 PS (402 hp) atau 576 PS (469 hp) dengan pilihan Performance Battery Plus.

Bagi kapasiti bateri, Turbo S, Turbo dan juga varian yang dilengkapi Performance Battery Plus didatangkan dengan pek 93.4-kWh, sementara model asas dan versi biasa 4S pula dengan unit 79.2-kWh. Taycan juga boleh mengguna pengecasan AC dan DC, dengan jarak maksimum sehingga 436 km mengikut peraturan WLTP.

Selain memaklumkan Taycan yang bakal tiba tidak lama lagi, video yang dimuatnaik tersebut juga adalah untuk meraikan ulangtahun ke-10 jalinan kerjasama antara Sime Darby dengan Porsche di Malaysia. Perjalanan yang bermula sejak 2010 apabila Porsche Asia Pacific (PAP) mencari rakan kerjasama untuk menjadi pengedar tunggal di negara ini, membuka peluang kepada Sime Darby untuk meraihnya.

Tahun yang sama juga menyaksikan pelancaran Cayenne generasi kedua dan juga Porsche Centre yang pertama di Bukit Bintang. Selepas itu, satu demi satu pelancaran dilaksanakan, termasuklah pengenalan generasi ketujuh model 911 pada 2012, generasi ketiga Cayman pada 2013, generasi pertama Macan pada 2014, 718 Boxster pada 2016, generasi kedua Panamera pada 2017, generasi ketiga Cayenne pada 2018 dan juga generasi kelapan 911 pada 2019.

Selain itu, pelbagai track day dan acara turut dianjurkan untuk pemilik, orang awam dan juga pihak media, begitu juga dengan beberapa Porsche Centre yang dibuka. Buat masa ini, Porsche Centre terletak di Pulau Pinang, Sungai Besi dan Ara Damansara (yang terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara).

GALERY: Porsche Taycan

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required