Jeep Grand Wagoneer Concept prebiu bagi SUV premium baharu – plug-in hybrid, produksi pada 2021

Jeep Grand Wagoneer Concept prebiu bagi SUV premium baharu – plug-in hybrid, produksi pada 2021

Walau pun kebanyakan negara di dunia sedang mengalami kemelesetan ekonomi akibat penularan wabak pandemik COVID-19, namun ini tidak menghalang jenama kenderaan untuk memperkenalkan produk keluarannya. Ini termasuklah Jeep yang turut memperkenalkan Grand Wagoneer Concept, sebagai prebiu untuk barisan SUV premium baharunya.

Syarikat ini mendakwa Wagoneer yang asal merupakan 4×4 premium yang pertama, yang telah lama berada di pasaran sebelum Range Rover. Mengenai plat namanya Wagoneer, ia membawa maksud “American Premium” yang “memberikan pengalaman yang unik dan tidak pernah dihadapi oleh pelanggan,” ujarnya.

Tetapi, Grand Wagoneer ini tidaklah menampilkan panel kayuan tiruan pada bahagian luarannya seperti mana pada asalnya, namun ia memiliki elemen yang mirip termasuk garisan badan yang lurus dan tiang yang tegak. Bahagian gril merupakan aspek rekaan yang paling menyerlah – dengan tujuh ruang mengongkong ke hadapan, bersama kepingan menegak dan ilumininasi antara setiap ruang, yang menjadi satu lagi trend dalam segmen mewah.

Malah gril terbabit turut diserlahkan dengan jaluran bersaiz lebar yang disambung ke lampu utama yang lebih nipis. Lampu ini menampilkan dua projektor LED pada setiap satunya dengan dihiasi kayu jati asli. Rekaan bampar hadapan yang lebih kemas turut dilengkapi corong pengambilan udara, inlet tengah kedua dan juga skid plate aluminium serta cangkuk penunda dalam kemasan Obsidian Black.

Jeep Grand Wagoneer Concept prebiu bagi SUV premium baharu – plug-in hybrid, produksi pada 2021

Gerbang roda trapezoidal turut membantu menambahkan gaya yang lebih ranggi pada bahagian sisi profil Grand Wagoneer ini, menutup roda pelbagai-jejari 24-inci dengan cetakan 3D di dalamnya. Tidak seperti kebanyakan kereta di luar sana, tiangnya yang dicat dengan rona yang sama dengan warna badan, turut berfungsi untuk memberikan udara yang lebih padat. Salah satu daya tarikan pada luarannya ialah dengan terpapar bendera Amerika di sebelah lencana “Grand Wagoneer” pada bahagian sisi.

Pada bahagian belakang, pencahayaan lampu LED turut dijadikan pilihan, dengan jaluran cahaya belakang yang merentangi hampir keseluruhan lebar kereta. Cermin belakang menegak memberikan lebih banyak ruang untuk barisan tempat duduk ketiga dan juga tempat penyimpanan barang, sementara diffuser belakang yang lebih kecil turut membantu meningkatkan ciri aerodinamik. Kereta yang ditunjukkan ini dicat dengan warna putih Arctic Ice dengan bumbung berwarna hitam dan kemasan iluminasi pada lencana hadapan dan belakang.

Di bahagian dalamnya pula, tertera perkataan “Est.1963” pada papan pemuka, menandakan tahun buatan bagi model pertama Wagoneer. Untuk dalamnya, tidak juga kurang menarik dengan adanya empat paparan digital pada papan pemuka – paparan 12.3-inci bagi instrumen, skrin sesentuh infotainmen utama 12.1-inci, skrin sesentuh 10.25-inci untuk kawalan suhu dan juga paparan sentuh 10.25-inci untuk penumpang hadapan.

Bagi skrin sentuh 10.25-inci ini, ia dioperasikan dengan sistem Uconnect 5 berasaskan Android yang terkini, dengan digandingkan bersama sistem bunyi McIntosh 23-pembesar suara.

Jeep Grand Wagoneer Concept prebiu bagi SUV premium baharu – plug-in hybrid, produksi pada 2021

Selain itu, material berkualiti tinggi turut dipilih bagi kemasan dalaman, termasuklah panel pemuka onyx, “wing” aluminium dan juga kayu renda yang diolah dengan suhu panas, yang tertera perkataan “Grand Wagoneer”. Untuk panel dalaman dan tempat duduk, material polyurethane menjadi pilihan, bukannya kulit. Ciri lain termasuk headlining gentian mikro Dinamica dan juga karpet gentian Thrive.

Buat pertama kalinya, Grand Wagoneer didatangkan dengan kapasiti tujuh tempat duduk, dengan barisan kedua pada model konsep ini menampilkan kerusi kapten, paparan kawalan tengah 10.1-inci dan skrin sesentuh 10.1-inci yang dipasang pada bahagian belakang tempat duduk hadapan. Jeep mendakwa tingkap besar memberikan pandangan yang lebih bagus, seperti juga bumbung kaca panoramik yang juga terpapar peta Detroit.

Jeep juga memberikan penjana kuasa plug-in hybrid untuk model konsep ini. Walau bagaimana pun tiada perincian lanjut dikongsikan, tetapi jangan terkejut sekiranya ia ada kaitan dengan Wrangler 4xe yang didedahkan baru-baru ini, yang menggunakan enjin 2.0 pengecas turbo empat-silinder, yang turut disambung pada starter/generator, motor bervoltan tinggi dan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan. Sekaligus memberikan jumlah keseluruhan kuasa sebanyak 375 hp dan tork 637 Nm, ditambah dengan jarak pacuan elektrik sehingga 40 km, hasil gandingan bateri lithium-ion 17 kWh.

Grand Wagoneer dijangka akan diproduksi pada tahun hadapan, dan ditawarkan dengan tiga sistem pacuan empat-roda, suspensi hadapan dan belakang dan suspensi udara Quadra-Lift. Jeep juga mendakwa model ini memiliki dalaman dan kapasiti tundaan yang terbaik dalam kelasnya. Wagoneer dan Grand Wagoneer akan dipasang di kilang baharu di Warren, Michigan, berhampiran dengan Detroit.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required