Bermaz Motor telah mengumumkan Mazda CX-30 2.0G kini telah dilengkapi pintu tailgate larasan kuasa iaitu sebahagian daripada peningkatan untuk model tahun ini. Ciri tambahan ini turut melibatkan kenaikan harga sebanyak RM3,110, menjadikan harga atas jalan bagi model ini mencecah RM144,759 tanpa insurans, termasuk rebat 50% bagi cukai jualan (SST). Walau bagaimana pun, varian lain dalam barisan CX-30 untuk Malaysia iaitu 2.0G High, 2.0G High AWD dan 1.8D High kekal tanpa sebarang perubahan.
Selain daripada pintu tailgate larasan kuasa itu, 2.0G masih mengekalkan lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang halogen, roda aloi 16-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, pendingin hawa manual, tempat duduk balutan fabrik larasan manual, paparan instrumen digital tujuh-inci, paparan utama, skrin sesentuh 8.8-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur dan lapan-pembesar suara.
Bagi aspek keselamatan, 2.0G ini masih kekal dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan, tanpa didatangkan dengan sistem bantuan pemandu i-Activsense seperti yang ada pada varian lain. Bagi penjana kuasanya, ia ditampilkan dengan enjin 2.0 liter Skyactiv-G empat-silinder petrol dengan output 162 hp pada 6,000 rpm dan tork 213 Nm pada 4,000 rpm. Pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.