Genap dua bulan tempahannya mula dibuka iaitu sejak 12 Ogos lalu, hari ini secara rasminya Volkswagen Passat R-Line dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Teka-teki tentang harganya juga telah terjawab iaitu RM203,411, atas jalan, termasuk pengecualian cukai jualan (SST) sehingga 31 Disember 2020. Selepas tarikh itu, harganya akan menjadi RM208,888.

Passat R-Line menerima padanan penjana kuasa turbo baharu iaitu unit EA888 generasi 3B 2.0 liter TSI yang mampu menghamburkan output sehingga 190 PS dari 4,180 rpm hingga 6,000 rpm dan tork 320 Nm dari 1,500 rpm hingga 4,180 rpm. Malahan ia juga digandingkan dengan kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) tujuh-kelajuan yang baharu dan telah ditambah baik, yang menyalurkan pacuannya ke roda hadapan. Penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 6.5 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran WLTP.

Melihat imej luarannya, ia diberikan sentuhan gaya sporty yang boleh dikatakan agak menyerlah. Wajah hadapannya ada sentuhan yang agak agresif dengan kemasan krom serta lampu utama LED penuh dengan ciri Dynamic Range Control yang menukar lampu tinggi dengan lebih baik mengikut kelajuan dan juga keadaan. Manakala bamparnya menampilkan rekaan baharu dipadankan dengan lampu nyalaan siang LED melintang.

Untuk profil sisinya pula, terdapat lencana eksklusif R-Line, dan corong pengambilan udara hadapan yang lebih besar dengan sudut berbentuk-C kemasan hitam berkilat serta skirt sisi yang lebih kedalam. Padanan rim aloi pelbagai-jejari Verona bersaiz 19-inci menjadi pilihan bagi menyerlahkan imejnya jadi bertambah mantap.

Melewati bahagian belakangnya pula, sentuhan yang lebih ringkas dengan kehadiran lampu belakang juga unit LED, bampar juga menerima rekaan baharu yang lebih kemas. Manakala corong ekzos berkembar memberikan sedikit kesan yang lebih sporty untuk imej belakangnya.

Menjengah bahagian kabinnya, Passat R-Line 2020 dilengkapi dengan penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sport aluminium. Malah ia menampilkan kokpit digital termasuk didatangkan dengan sistem infotainmen Discover Pro Volkswagen bersama skrin sesentuh bersaiz 9.2-inci.

Ciri-ciri lain termasuklah kawalan suara, gestur, skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dan bersama ketersambungan Wireless App-Connect dengan Apple Car Play. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan kelajuan, sistem audio dengan lapan-pembesar suara dan kamera undur.

Bagi varian Passat R-Line 2020 ini, ia juga hadir dengan penyerap hentak Dynamic Chassis Control (DCC) yang boleh dilaras secara elektronik, ciri ini juga didatangkan dengan pemilihan mod pemanduan dan XDS electronic differential lock.

Bagi aspek keselamatan pula, Passat R-Line 2020 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

Selain itu, ciri keselamatan yang dipertingkatkan termasuklah Side Assist dengan jarak pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter. Manakala ciri Rear Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu apabila mengundur keluar dari ruang parkir jika terdapat kenderaan yang mendekati pada sudut 90 darjah.

Passat R-Line 2020 didatangkan dalam enam warna iaitu tona metalik terdiri daripada Aquamarine Blue, Tamarind Brown, Manganese Grey dan Reflex Silver. Serta dua warna mutiara iaitu Deep Black dan Oryx White turut ditawarkan tanpa sebarang penambahan harga.

Pembelian Passat R-Line 2020 ini turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, tiga-tahun pakej servis percuma dan juga lima-tahun bantuan tepi jalan percuma. Untuk perincian dan spesifikasi penuh Passat R-Line 2020, sila layari Carbase.my.

GALERI: Volkswagen Passat R-Line 2020 yang dipertontonkan di Malaysia