Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan SUV kompak segmen-B Hyundai Kona untuk pasaran Malaysia. Pelancaran secara langsung menerusi platform laman Facebook Hyundai Malaysia ini turut melibatkan model sedan Sonata 2020 yang juga telah pun berada di pasaran tempatan.

SUV Kona ini didatangkan dengan tiga varian bersama dua pilihan enjin – 2.0 Standard, 2.0 Active dan spesifikasi tertinggi 1.6 T-GDI High. Model 2.0L didatangkan dengan enjin Nu MPI Atkinson naturally aspirated dengan 149 hp pada 6,200 rpm dan tork 180 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear torque converter automatik enam-kelajuan. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 10 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 194 km/j.

Manakala unit 1.6 liter Gamma T-GDI turbo petrol empat-silinder mampu memberikan 177 hp pada 5,500 rpm dan tork 265 Nm daru 1,500 hingga 4,500 rpm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac EcoShift® tujuh-kelajuan. Pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.7 saat dan kelajuan maksimum mencapai 210 km/j. Barisan Kona untuk pasaran tempatan ini adalah pacuan roda-hadapan dan turut diberikan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Eco dan Sport.

Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

Kona menampilkan rekaan badan yang estetika dengan bancuhan sporty, memberikannya gaya yang lebih maskulin dan cukup menarik perhatian. Ditambah dengan sisi agresif dan siluet dinamik membantu menyerlahkan lagi imejnya. Kona juga diberikan jarak roda yang lebih panjang dan overhang yang agak pendek turut membantunya dalam memberikan kestabilan pemanduan yang lebih optimum terutamanya jika dipandu dalam kelajuan yang agak tinggi.

Memiliki ukuran dimensi 4,165 mm panjang dan 1,800 mm lebar, menjadikan Kona lebih pendek sebanyak 129 mm berbanding Honda HR-V, tetapi lebih lebar sebanyak 28 mm daripada pencabar terdekatnya itu. Malah ia juga berketinggian 1,550 mm atau kurang 55 mm berbanding HR-V (1,605 mm). Manakala jarak rodanya pula mencapai 2,600 mm atau 10 mm juga lebih pendek berbanding HR-V.

Memerhatikan bahagian hadapannya, lampu utama dengan sentuhan rekaan futuristik dan berbentuk langsing dengan gril lata yang menampilkan paten mesh yang sporty disambung dengan fender umpama sayap, cukup mendominasikan imejnya.

Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

Kelengkapan pencahayaan untuk varian 2.0 Standard bermula dengan lampu utama halogen dan lampu belakang gabungan mentol biasa, sementara varian 2.0 Mid menerima lampu utama LED bi-function projection-beam dengan lampu selekoh statik bersama lampu belakang kombinasi LED. Manakala varian 1.6 T-GDI High pula sama dengan larasan pencahayaan seperti varian Active, tetapi dengan penambahan lampu tinggi pintar.

Model asas Standard dipadankan dengan roda aloi 17-inci yang dibaluti tayar profil 215/55, sementara varian Active dan High pula menerima roda aloi 18-inci dengan tayar 235/35. Selain itu, persamaan ciri luaran yang dikongsikan antara varian Active dan High pula ialah lampu kabus dan skid plate warna perak. Walau bagaimana pun varian tertinggi High juga diberikan rel bumbung dan juga permukaan bumbung dengan warna kontras hitam. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan warna kontras yang sama pada perumah cermin sisi, gerbang roda dan bahagian tiangnya bagi memberikan penampilan yang lebih menyerlah.

Untuk bahagian belakangnya, lampu yang langsing turut diberikan dengan jaluran krom di atas plat nombor kenderaan. Selain itu, lampu kabusnya yang agak besar ditampilkan dan varian High diberikan perumah lampu kabus dengan rona hitam, kontras dengan warna badannya, manakala dua varian di bawahnya menggunakan warna yang sama dengan badan.

Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

Untuk bahagian kabinnya, model asas Standard menerima tempat duduk hadapan dengan larasan manual dan juga pendingin hawa dengan kawalan manual. Manakala untuk varian pertengahan dan tertinggi pula diberikan tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa lapan-hala dan juga fungsi sokongan belakang, sementara untuk penumpang hadapan hanya dengan tempat duduk larasan manual.

Selain itu, kedua-dua varian ini juga menerima tempat duduk balutan kulit, kawalan suhu automatik zon-tunggal dan unit paparan utama. Kesemua varian turut diberikan ciri kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, kluster informasi digital, sistem audio dengan skrin sesentuh LCD berwarna tujuh-inci bersama enam-pembesar suara, auxiliary audio input, USB, Bluetooth, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bukan itu sahaja, barisan Kona turut menerima ciri pengesan arahan suara, Paparan Pandangan Belakang dengan panduan parkir dinamik. Walau bagaimana pun, varian High menerima satu lagi ciri tambahan iaitu pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar.

Bagi keselamatan pasif pula, semua varian menerima enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurusan Sistem Kenderaan (VSM), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mendaki Bukit, Kawalan Menurun Bukit, dua cagak ISOFIX di tempat duduk belakang dan Sistem Bantuan Parkir belakang (varian High turut menerima sistem berkenaan untuk bahagian hadapan).

Untuk varian pertengahan dan tertinggi juga didatangkan dengan Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW) dan Amaran Trafik Lintasan Belakang. Walau bagaimana pun, varian 1.6 T-GDI menerima ciri tambahan keselamatan aktif Hyundai Smart Sense yang merangkumi Bantuan Kekal Lorong, Kawalan Kelajuan Pintar, Amaran Pelanggaran Hadapan, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan dan Amaran Kepekaan Pemandu.

Pilihan warna adalah berbeza bergantung kepada varian. Varian paling asas cuma akan ditawarkan dalam warna Phantom Black dan Chalk White, manakala varian lain akan turut mendapat Tangerine Comet, Blue Lagoon dan Dark Knight. Varian T-GDI juga akan mendapat pilihan warna ekstra Ceramic Blue dengan kontras hitam pada beberapa bahagian termasuk bumbung dan perumah cermin sisi.

Barisan Kona ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM123,888 bagi varian Standard, RM138,888 untuk Active dan High pula berharga RM151,888. Walau bagaimana pun, dalam tempoh pengurangan cukai jualan bagi model CBU sehingga 31 Disember ini, HSDM menawarkan harga pengenalan; RM115,888 (varian 2.0 Standard), RM130,888 (2.0 Active) dan RM143,888 (1.6 Turbo), harga untuk Semenanjung Malaysia, tanpa insurans. Kesemua varian ini turut diberikan waranti lima-tahun atau had perbatuan 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

GALLERY: Hyundai Kona 1.6 T-GDI

GALERI: Hyundai Kona 2.0 MPI Mid

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Selamat berjaya menjual Kona. Susah nak bersaing harga macam ni

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required