Semalam Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi positif COVID-19 iaitu mencecah 1,884 kes dengan Selangor merekodkan kes tertinggi iaitu 1,203 kes, diikuti Sabah (289 kes) dan Kuala Lumpur (196 kes). Walau pun kenaikan kes positif COVID-19 dilihat kian menggusarkan, sudah ada beberapa negeri telah bebas daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Kedah (kecuali daerah Kulim), Melaka, Johor dan Terengganu. Selebihnya masih di bawah PKPB.
Industri pelancongan merupakan sektor yang terjejas teruk dek penangan COVID-19 dan juga pelaksanaan PKP. Walau bagaimana pun, bagi membantu memulihkan semula ekonomi yang terjejas, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (Motac) telah memperkenalkan pelan khas, Gelembung Perjalanan Domestik, untuk merancakkan kembali pelancongan domestik. Tetapi ini hanya melibatkan zon hijau sahaja. Jadi, jika anda berada di Lembah Klang atau negeri lain yang berada di zon merah, kuning mahu pun jingga, harap teruslah bertabah.
Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah berkongsi prosedur operasi standard (SOP) untuk Gelembung Perjalanan Domestik, yang membenarkan orang ramai melakukan perjalanan dari zon hijau ke zon hijau yang lain tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis. Tetapi jika anda ingin merentasi zon merah, kuning atau jingga, wajib untuk mendapatkan permit pergerakan daripada polis.
Menurut SOP yang dikeluarkan, pemandu yang melakukan perjalanan antara zon hijau dibenarkan membawa penumpang mengikut kapasiti kenderaan terbabit. Bukannya tiga individu dalam satu rumah yang sama seperti mana yang disyaratkan di bawah SOP PKPB. Walau bagaimana pun, Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, “Bagi perjalanan terbabit, mereka tidak dibenarkan untuk berhenti di mana-mana kawasan di dalam zon merah atau kuning; termasuk di R&R dan stesen minyak.”
Manakala untuk pergerakan sekeluarga atau pun kumpulan pelancong di bawah pakej pelancongan di bawah syarikat pelancongan sah berlesen dan berdaftar dengan Kementerian perlulah
membuat permohonan secara pukal kepada pihak polis.
Apa yang diperlukan dalam permohonan terbabit ialah pelancong yang berasal dari zon hijau perlulah menunjukkan pengesahan deklarasi tahap kesihatan risiko semasa berstatus low risk (risiko rendah) melalui profil MySejahtera. Selain itu, bukti tempahan penginapan, tiket, atau pakej pelancongan diperlukan. Begitu juga dengan itinerari pelancongan atau pun apa-apa dokumen yang diperlukan oleh pihak polis.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.