Walaupun sudah mempunyai beberapa model skuter dalam kategori 125 cc seperti Mio, Fino, X-Ride dan FreeGo, Yamaha Indonesia telah menambah satu lagi model baru dalam kategori itu, dipanggil sebagai Gear 125. Di sana, ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan Type S.
Skuter terbaru Yamaha ini menggunakan digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 124.96 cc dan mampu menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.5 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin yang mempunyai teknologi BlueCore ini juga dilengkapi dengan Smart Motor Generator yang mampu memberikan bunyi lebih senyap apabila dihidupkan.
Saiz Gear 125 adalah seperti Ego di negara kita, dan ia menggunakan rim 14 inci dibalut tayar tanpa tiub 80/80 di hadapan dan 100/70 di belakang, brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, fork teleskopik serta satu penyerap hentak di belakang.
Sebagai sebuah skuter, Gear 125 menawarkan kelengkapan yang memudahkan pengguna seperti penyangkut barangan, soket pengecas, sistem start/stop (Type S), fungsi panggilan balik, ruang simpanan bawah tempat duduk, tangki bahan api 4.2 liter serta lampu hadapan jenis LED.
Gear 125 Type S ditawarkan di Indonesia dalam dua warna, pada harga 17.35 juta Rupiah (RM5,024) manakala versi Standard ditawarkan dalam pilihan lima warna, pada harga 16.75 juta Rupiah (RM4,850).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.