Hyundai Malaysia mengesahkan pelancaran bagi model generasi ketujuh Elantra 2021 (Avante di beberapa pasaran luar termasuk Korea) bakal berlangsung secara maya menerusi laman Facebook rasminya pada minggu hadapan. Tarikh serta masanya akan dimaklumkan kemudian. Tempahannya juga telah mula dibuka sejak 27 November lalu.

Dengan perkembangan ini, Hyundai Malaysia juga telah mendedahkan spesifikasi penuh bagi Elantra 2021 yang hanya didatangkan dalam varian tunggal untuk pasaran tempatan. Disifatkan sebagai trend baharu bagi kereta sedan segmen-C, Elantra 2021 merupakan model pertama Hyundai yang menggunakan teknologi transmisi pintar dengan prestasi dan penjimatan bahan api sekali gus.

Ia diberikan enjin petrol Smartstream G1.6 MPi (1.6 liter) naturally-aspirated DVVT dengan Dual Port Injection System yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 123 PS (121 hp) pada 6,300 rpm dan tork 154 Nm pada 4,500 rpm. Enjin ini menggunakan kepala silinder jenis DOHC, bersama sistem pemasa injap boleh ubah berterusan (CVVT), sistem suntikan multi-silinder serta modul pengurusan haba enjin yang baharu. Ini sama seperti apa yang digunakan pada Elantra/Avante di Singapura.

Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi Smartstream Intelligent Variable Transmission (IVT) dengan lapan-kelajuan maya. Menurut Hyundai, IVT menggunakan rantai sawat (chain belt) berbanding push belt. Ini disifatkan mampu memberi respon lebih baik serta mengurangkan kehilangan kuasa dari enjin (5-8%) dan lebih menjimatkan minyak (4.2%).

Gandingan enjin dan transmisi berkenaan membolehkan Elantra 2021 dipecut dari 0-100 km km/j dalam 10.4 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 196 km/j. Manakala anggaran penggunaan bahan api kombinasi pula sekitar 5.6 liter bagi setiap 100 km. Bagi pengendaliannya, ia juga diberikan tiga mod pemanduan iaitu Normal & Smart, Eco dan Sport.

Sebagai perbandingan, Elantra generasi keenam yang diperkenalkan pada tahun lalu ditawarkan dengan enjin 2.0 liter Nu naturally-aspirated empat-silinder dengan hamburan kuasa 152 PS dan tork 192 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan. Untuk casisnya, model ini dilengkapi dengan topang MacPherson di depan dan palang torsion di belakang. Manakala sistem brek pula menggandingkan cakera ventilated di hadapan dan cakera solid di belakang.

Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan ini memiliki dimensi berukuran 4,675 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,430 mm tinggi dengan jarak roda 1,245 mm. Ini menjadikannya lebih panjang sebanyak 55 mm dan 25 mm lebih lebar berbanding model sebelumnya. Malah jarak rodanya juga bertambah sebanyak 20 mm. Namun demikian, ia telah diturunkan ketinggiannya sebanyak 20 mm. Manakala kapasiti bagi ruang but pula mencecah 474 liter.

Pertama kali melihat Elantra 2021 dalam sesi pra-tontonnya tempoh hari, perkataan ‘wow’ muncul di bibir. Rekaannya agak ranggi dan impresif. Sekali pandang, ia umpama model coupe empat-pintu yang sporty. Ia menampilkan rekaan parametric dynamic yang diterjemahkan menerusi Sensuous Sportiness ciptaan Hyundai sendiri.

Menurut Hyundai, garisan bentuk tiga segi pada badannya mungkin bakal dianggap tabo dalam rekaan automotif. Namun ia sebenarnya mewakili emosi baharu dengan paparan inovasi geometrikal. Ia begitu jelas kelihatan bermula pada gril bahagian hadapan yang hadir dengan konsep paten batu permata. Ditambah pula dengan gabungan lampu utama dwi LED (Low & High Projection) yang nampak garang, bersama air curtain dan lampu indikator membelok yang agak tersorok di dalam gril.

Senada dengan bahagian hadapan, sisi profilnya juga jelas kelihatan dengan karakteristik parametric dynamic bersama garisan berinspirasikan batu pertama yang melingkar sehingga ke hujung belakang. Hyundai turut meminjam elemen fastback untuk penggayaan bahagian tepi. Menyerlahkan lagi gayanya dengan menampilkan roda aloi 17-inci yang dibaluti tayar profil 225/45R17 Kumho Ecsta PS71.

Manakala untuk bahagian belakangnya, masih mengekalkan gaya elegan umpama coupe empat-pintu namun elemen ducktail pada bahagian bonetnya agak tinggi dan membuatkan pandangan belakangnya agak sedikit pelik. Bahagian ini diberikan lampu kombinasi LED, lampu H-tail yang seperti dua boomerang bersambungan bersama logo Hyundai dan lencana Elantra yang terpisah dek lampu tersebut.

Menjengah bahagian dalamnya pula, pelanggan mempunyai pilihan sama ada mahukan bentangan warna hitam atau pun kelabu cerah untuk keseluruhan kabinnya. Jika memilih rona hitam, bentangan kabinnya tampil dengan tiga kemasan termasuk kulit berwarna hitam, tricot dan natural leather yang menampakkan gaya lebih elagan. Manakala jika memilih kemasan berwarna kelabu cerah, kemasan kulit dan woven diberikan.

Dan jika anda memilik kemasan ini, jangan terkejut sekiranya mendapati kemasan panel pada pintu tempat duduk penumpang hadapan berbeza daripada tempat duduk pemandu dan penumpang belakang. Ini bukan disebabkan kilang Hyundai salah pasang pintu, tetapi itulah konsep gayanya yang ingin menampilkan kelainan.

Untuk bahagian kabinnya, antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah tempat duduk pemandu larasan kuasa (larasan manual untuk penumpang hadapan), pemegang cawan yang boleh dilaras ketinggiannya, tempat duduk hadapan dengan fungsi haba dan aliran udara, kawalan keselesaan suhu pintar untuk tempat duduk pemandu, paparan kluster Supervision TFT LED berwarna sepenuhnya 10.25-inci, dan skrin ‘terapung’lapan-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple Carplay.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan Bluetooth multi-connection bersama pengesan suara, brek parkir elektronik dengan fungsi menahan automatik, pendingin hawa automatik dwi-zon dengan tiga kawalan bagi blower, corong udara untuk tempat duduk belakang, soket kuasa dan tiga pengecas USB dan pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar.

Elantra 2021 ini turut diberikan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, smart trunk untuk bahagian bonet, empat penderia parkir hadapan dan empat lagi untuk parkir belakang, dan Kawalan Kelajuan Pintar dengan fungsi Stop & Go.

Untuk aspek keselamatan, ia diberikan ABS dengan EBD, sistem bantuan brek, sistem kawalan cengkaman (TCS), kawalan kestabilan elektronik (ESC), pengurusan sistem kenderaan (VSM), kawalan mula mendaki (HAC), cagak Isofix dan enam beg udara (bahagian pemandu, penumpang hadapan, sisi dan tirai).

Bukan setakat itu sahaja, Elantra 2021 turut diberikan kelengkapan Hyundai SmartSense yang merangkumi Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Forward Collision-Avoidance Assist-Junction (FCA-JT) dan Blind Spot Collision-Avoidance Assist (BSC).

Selain itu, ia turut menampilkan Driver Attention Warning (DAW), Leading Vehicle Departure Alert (LVDM), Safe Exit Warning (SEW), Rear Cross Traffic Collision-Avoidance (RCCA) dan Rear Occupant Alert (ROA).

Bagi Elantra 2021 ini, ia diberikan empat pilihan warna luaran – Polar White, Electric Shadow, Amazon Grey dan Intense Blue. Jadi pelanggan diberi pilihan untuk memilih warna luaran yang dirasakan ‘ngam’ dengan dua variasi warna dalaman seperti yang dinyatakan di atas.

Buat masa ini, Hyundai Malaysia masih belum mendedahkan lagi harganya. Walau bagaimana pun, tempahannya telah pun mula dibuka dengan yuran serendah RM777. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sedan segmen-C baharu ini, sama-samalah kita menantikan perkembangannya sewaktu ia dilancarkan pada minggu hadapan.

Hyundai Elantra 2021 di Malaysia

Tags: