Lain macam perkembangan automotif di India sekarang. Misalnya, Pravaig Dynamics telah mendedahkan kereta elektrik pertama syarikat itu, yang diberi nama Extinction Mk1. Model ini akan ditawarkan secara eksklusif kepada perkhidmatan fleet premium untuk pelanggan business-to-business (B2B) di India. Servis berkenaan akan ditawarkan di Bangalore dan Delhi terlebih dahulu.
Extinction bakal menggunakan pek bateri lithium-ion 96-kWh yang diletakkan pada lantai kenderaan, yang mempunyai density kuasa sebanyak 155 Wh/kg. Angka ini, sebagai contoh, melebihi apa yang ada pada Hyundai Kona (141 Wh/kg), Mercedes-Benz EQC (123 Wh/kg) dan Tata Nexon EV (95 Wh/kg).
Bateri berkenaan membekalkan kuasa kepada motor elektrik 204 PS, yang turut mampu menghasilkan 2,400 Nm tork – selepas menggandakannya dengan nisbah gear kereta ini, tentunya. Dari segi prestasi, syarikat berkenaan mendakwa model ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, dengan laju maksimum 196 km/j.
Bateri berkenaan juga dikatakan mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 504 km untuk satu cas penuh. Perincian tentang cas masih belum diketahui, tetapi Extinction akan menyokong pengecasan pantas DC, dari 0-80% dalam masa 30 minit.
Dari segi rekaan, prototaip Extinction yang ditunjuk menampilkan rekaan badan coupe dua-pintu, lampu tirus dan bulan dalamnya, lampu belakang yang juga kurus, rim 17-inci dan bentuk jitu untuk kesan aerodinamik yang baik.
Berdasarkan laporan Hindustan Times, Techradar dan DriveSpark, produk akhir nanti akan lebih baik daripada prototaip, termasuk jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi, empat-pintu dan kabin lebih selesa. Penapis udara maju katanya akan digunakan, menyediakan udara nyaman ala “di Himalaya”, mengurangkan CO2 hingga 10 kali di dalam kabin, dengan pengasingan 99% partikulat PM 2.5.
Extinction akan dilancarkan pada 2021, dengan syarikat bakal memanfaatkan strategy pemasaran digital berbanding kaedah tradisional. Harga pula akan dimaklumkan kemudian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.