Mercedes-Benz EQS MBUX Hyperscreen diperkenal – skrin 56-inci meliputi keseluruhan papan pemuka!

Mercedes-Benz EQS MBUX Hyperscreen diperkenal – skrin 56-inci meliputi keseluruhan papan pemuka!

Mercedes-Benz telahpun memperkenalkan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) versi terbaharunya yang akan dipadankan secara opsyen pada model sedan EQS elektrik sepenuhnya akan datang. Apa yang mengejutkan, sistem ini menampilkan skrin gergasi digelar Hyperscreen yang meliputi hampir keseluruhan papan pemuka!

Menurut pembuat automotif Jerman berkenaan, Hyperscreen MBUX ini merupakan “skrin paling besar dan paling pintar pernah dipadankan pada model produksi Mercedes-Benz.” Secara keseluruhan, skrin berkenaan berukuran 56-inci (141 cm) yang terdiri dari tiga skrin berasingan termasuk paparan instrumen digital 12.3-inci, dan dua skrin dengan teknologi OLED iaitu paparan tengah 17-7-inci dan skrin untuk penumpang bersaiz 12.3-inci.

Skrin-skrin ini dilindungi oleh Gorilla Glass lapisan tunggal yang melengkung serta anti-reflektif. Manakala liang udara penghawa dingin gaya-turbin yang perlu diletakkan pada skrin-skrin berkenaan diberikan perumah sekeliling plastik, dalam kemasan Silver Shadow menerusi proses tiga lapisan.

Ia turut dipadankan dengan lampu suasana di bahagian bawah skrin tersebut bagi membolehkan ia kelihatan seolah-oleh terapung pada papan pemuka berkenaan.

Sistem ini bukan sahaja menampilkan saiz “yang tak pernah dibuat orang”, malah turut beroperasi dengan sistem terkini, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (A.I) sebagai teknologi utama untuk ‘berhubung’ dengan pengguna. Secara asasnya, perisian pada sistem MBUX ini akan sentiasa belajar berkenaan kebiasaan penggunaan oleh pemiliknya bagi memberikan saranan unik bagi keselesaan, infotainmen dan juga fungsi kenderaan.

Contohnya, jika pemandu kereta tersebut selalu menggunakan pemanas pada roda stereng dan pemanas tempat duduk pada permukaan tertentu, larasan tersebut akan disarankan kepada pemandu berkenaan sejurus selepas dia menghidup suis pemanas tempat duduk.

Satu lagi contoh, sekiranya pemilik kereta berkenaan selalu menalifon nombor tertentu pada petang Selasa, sistem berkenaan akan bertanya kepada pemiliknya adakah dia mahu melakukan panggilan berkenaan pada masa-masa tersebut.

Teknologi A.I pada sistem MBUX ini juga mempunyai kesedaran konteks-sensitif yang akan mengingati posisi GPS di mana sistem suspensi boleh laras EQS ini perlu ditinggikan bagi mendapatkan lebih kelegaan tanah, contohnya ketika merentasi bonggol pada laluan yang biasa dilalui, di mana sistem ini akan menyarankan fungsi tersebut kepada pemandu.

Bagi memudahkan lagi penggunaan sistem MBUX ini, ia diberikan pendekatan “zero-layer”, di mana fungsi yang selalu digunakan akan sentiasa dipaparkan pada skrin Home, dan pengguna tidak perlu mencari semula fungsi berkenaan atau menggunakan arahan suara.

Oleh itu, sistem navigasi akan sentiasa diletakkan di hadapan dan tengah, manakala modul lain yang lebih kecil seperti media dan telefon diletakkan di atas kawalan penghawa dingin.

Penumpang hadapan turut mendapat skrin mereka sendiri yang turut boleh dioperasikan secara berasingan dari skrin utama, dan diberikan pelbagai pilihan fungsi hiburan. Sistem tersebut diberikan tujuh slot profil, membolehkan setiap satunya menyimpan larasan individu berasingan dan tidak bercampur dengan larasan yang digemari oleh pemandu.

Sekiranya tempat duduk penumpang hadapan kosong, skrin berkenaan akan menjadi sebahagian kemasan untuk kabin, memaparkan animasi bintang menampilkan logo Mercedes-Benz bergantung mood yang dipilih.

Paparan-paparan informasi berkenaan penggunaan tenaga pada kereta elektrik sepenuhnya EQS ini turut akan diberikan kepada pemandu dengan cara yang tidak sama dengan paparan konvensional yang lain.

Sistem MBUX dengan Hyperscreen ini digerakkan dengan CPU 8-core dan juga RAM 24 GB (dengan jalur lebar 46.4 GBps). Fungsi lain yang turut dipadankan termasuk kamera pelabagai fungsi dan penderia cahaya dan 12 actuator di bawah skrin sesentuh untuk tindak balas haptik.

“Dengan Hyperscreen MBUX, visi rekaan kini menjadi kenyataan”, kata ketua pegawai rekaan di Daimler Group, Gorden Wagener. “Kami gabungkan teknologi dengan rekaan dalam gaya menarik yang memberikan pelanggan kemudahan penggunaan yang tidak pernah ditawarkan sebelum ini. Kami sukakan gaya ringkas, kami sudah mencapai tahap baru untuk MBUX,” tambahnya.

Sistem asal MBUX ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 2018, dipadankan pada A-Class generasi W177 sedia ada, dan kemudian turut digunakan pada model-model lain. Menurut Mercedes-Benz, sehingga kini lebih dari 1.8 juta kereta mereka telah pun menggunakan sistem ini di seluruh dunia.

Sistem generasi kedua MBUX telah muncul pada September tahun lalu, diperkenalkan pada S-Class W223 dan menawarkan peningkatan signifikant dari segi prestasi, fungsi dan juga antara muka. Manakala sistem MBUX dengan Hyperscreen ini pula adalah evolusi terbaharu teknologi tersebut, dan sedan elektrik sepenuhnya EQS berkenaan akan membuat kemunculan pada tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required