Mercedes-Benz S-Class W223 hanya akan diperkenalkan pada bulan September nanti, jadi pengeluar dari Jerman ini mempunyai masa untuk mendedahkan sedikit semi sedikit informasi berkenaannya. Dalam episod terbaru siri video S-Class Digital, mereka membincangkan salah satu bahagian penting bagi model ini iaitu interface Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi kedua yang dipanggil sebagai My MBUX.

MBUX generasi pertama sudah kita lihat digunakan pada banyak model terbaru Mercedes-Benz, tetapi sistem generasi kedua pada S-Class ini adalah lebih maju daripada aspek fungsi dan kemampuan. Sudah tentu, pesaingnya seperti BMW 7 Series dan Audi A8 juga mempunyai pelbagai teknologi moden.

Bermula dari tempat duduk pemandu, panel instrumen digital skrin lebar masih sama tetapi ia telah dikemas kini dengan grafik kesan 3D masa sebenar tanpa perlu memakai apa-apa cermin mata. Ia dapat dicapai dengan menggabungkan paparan LCD biasa dengan struktur pixel khas dan bukaan gril LCD yang boleh dikawal.

Sistem ini berkerjasama dengan sistem kamera stereo dan ia boleh menjejak kedudukan mata pemandu dan berterusan melaras imej supaya menampakkan informasi yang terang. Sama seperti sebelumnya, banyak bahagian pada paparan ini boleh diubah termasuk pilihan mod Classic, Sport, Understated dan Exclusive (khas untuk S-Class). Pada mod tertentu seperti bantuan pemandu atau navigasi, keseluruhan skrin akan digunakan dengan pelbagai informasi.

Depan sedikit daripada panel paparan digital pemandu adalah head-up display baru yang boleh memaparkan imej Augmented Reality (AR) menggunakan cermin digital keluaran Texas Instruments yang terdiri daripada 1.3 juta kepingan cermin berasingan dan satu sumber cahaya.

Ini adalah kali pertama S-Class mendapat sistem sebegitu, di mana informasi berkenaan sistem bantuan pemandu serta navigasi dipaparkan secara AR pada head-up display. Ia disediakan untuk mengurangkan gangguan semasa memandu seperti mengalihkan pandangan kepada skrin lain.

Walaupun begitu, bahagian paling penting adalah skrin sesentuh sebesar 12.8 inci yang menguasai papan pemuka dan bahagian tengahnya. Ia mempunyai resolusi 1,888 x 1,728 pixel dan boleh dipilih dalam jenis LCD atau OLED (menggunakan 30% kurang kuasa). Berdasarkan saiz serta kemampuannya, sistem baru ini menyediakan 50% lebih kuasa memproses berbanding sebelum ini, satu unit pemproses grafik (GPU) khas dengan 691 gigaflop, RAM 16 GB dan solid-state drive (SSD) 320 GB.

Hampir semua fungsi kenderaan seperti hiburan, kawalan suhu, navigasi dan tetapan kenderaan boleh diakses melalui sistem ini dan ia sekaligus mengurangkan penggunaan 27 butang fizikal berbanding pada papan pemuka S-Class W222 sekarang. Berdasarkan demonstrasi video yang disiarkan, kami lihat ia seperti senang digunakan seperti telefon pintar dan mempunyai paparan yang jelas.

Seperti yang boleh dijangka, sistem ini datang dengan pelbagai sistem sambungan, termasuk pembantu digital “Hey Mercedes” (boleh memahami 27 bahasa) dan juga boleh dikawal oleh penumpang di belakang. Menurut Mercedes-Benz, pembantu digital ini telah dipertingkat supaya dapat memahami penumpang lebih baik dan sekarang turut dilengkapi dengan data yang boleh menjawab soalan berkenaan pengetahuan am atau bunyi binatang.

Bukan setakat itu, sistem ini juga membenarkan akses trafik masa sebenar, e-mel, pelayar internet serta pelbagai lagi. Ia turut ditawarkan untuk penumpang di belakang melalui pakej hiburan tempat duduk belakang (diberikan dengan tablet digital) yang disambungkan terus kepada sistem My MBUX.

Sambungan dua hala ini membenarkan paparan pada skrin dikongsi secara mudah di antara pemandu dan juga penumpang. Sebagai tambahan, anda juga boleh membuat sambungan kepada sehingga tujuh akaun Mercedes Me dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi khas, dan tetapan kegemaran anda akan terus dipasang. Profail ini disimpan atas talian, jadi ia boleh digunakan oleh mana-mana model Mercedes-Benz yang mempunyai My MBUX.

Sebagai ciri keselamatan, akses kepada akaun Mercedes Me ini bukan sahaja boleh dilakukan melalui nombor PIN, tetapi juga memerlukan tiga pengesahan biometrik yang termasuk cap jari (pada butang Home), muka dan juga pengenalan suara.

Satu lagi teknologi maju adalah sistem MBUX Interior Assist. Ia menggunakan kamera yang terletak di bahagian atas bumbung (dalam kenderaan) dan boleh menjangka kemahuan dan keinginan penumpang dengan membaca pergerakan kepala, tangan serta bahasa badan. Dengan pergerakan tertentu, fungsi kenderaan tertentu boleh dikawal.

Sebagai contoh, sekiranya pemandu menoleh ke belakang, sistem ini secara automatik akan membuka penghadang cahaya di cermin belakang. Ataupun, jika pemandu mencari-cari sesuatu di bahagian penumpang hadapan dalam gelap, sistem ini akan membuka lampu secara automatik. Pergerakan tangan juga boleh dibaca dan boleh digunakan untuk membuka bumbung suria tanpa sentuhan.