TUNGGANG UJI: Modenas Elegan 250 ABS 2020 – banyak bahagian boleh dipuji, tapi tidaklah sempurna

TUNGGANG UJI: Modenas Elegan 250 ABS 2020 – banyak bahagian boleh dipuji, tapi tidaklah sempurna

Kita sudah tahu, Modenas sememangnya mempunyai kerjasama dengan beberapa pengeluar lain, malah sejak dari awal penubuhannya lagi, tetapi yang masih aktif lagi sehingga sekarang antaranya adalah bersama Kymco.

Ia sudah terjalin sejak tahun 2016, dan melaluinya, pengguna motosikal di Malaysia diberikan pilihan motosikal Kymco pada harga yang lebih menarik. Ini adalah satu peluang yang sepatutnya diambil oleh pengguna kerana Kymco sudah terkenal sebagai antara pengeluar skuter yang terbaik di dunia.

Bukan setakat Modenas, pengeluar lain juga ada yang menggunakan model Kymco sebagai asas untuk skuter mereka termasuklah Kawasaki J300 dan juga BMW C650. Untuk Modenas, apa yang dilakukan pada skuter ini cuma dijenamakan semula termasuklah menggunakan nama Karisma dan juga Elegan.

November tahun lalu, Modenas telah melancarkan versi Elegan 250 terbaru dengan harga jualan RM15,315. Sejujurnya semasa ia dilancarkan, kami tidak rasa begitu teruja kerana ini adalah skuter yang sama secara asasnya dengan model yang dilancarkan empat tahun yang lalu.

Cumanya, ia telah diberikan peningkatan pada bahagian brek, dengan kini dilengkapi sistem ABS pada brek cakera depan dan belakangnya. Pujian harus diberikan kerana ABS adalah satu sistem keselamatan yang penting pada sesebuah kenderaan dan boleh mengurangkan risiko kemalangan.

Walaubagaimanapun, itu bukan satu-satunya peningkatan yang diberikan oleh Modenas kepada skuter ini. Kalau anda boleh perhatikan, lampu hadapannya kini menggunakan jenis projector LED yang memberikan pencahayaan lebih terang pada waktu malam. Panel badan pula masih lagi sama.

Kami merasakan peningkatan ini juga adalah sesuatu yang menarik kerana apabila diperiksa pada laman web rasmi Kymco, model X-Town 250i yang digunakan sebagai asas untuk Elegan 250 ABS ini tidak mempunyai spesifikasi yang dilengkapi dengan lampu projector LED. Jadi maknanya, Elegan 250 ABS di Malaysia sekarang mungkin mempunyai kelebihan berbanding X-Town 250i di negara lain.

Pada pendapat kami, rekaan Elegan 250 ini masih boleh diterima pada masa kini. Ia biasa sahaja – tidak begitu lapuk dan tidak juga begitu moden. Lampu LED belakang yang mempunyai pencahayaan berbentuk X pula seakan memberi identiti tersendiri dan membuatkan orang lebih mudah mengenal pasti ia adalah Elegan 250.

Mungkin ada yang mengatakan, Elegan 250 ini nampak besar tetapi ia sebenarnya tidaklah begitu mengganggu untuk digunakan sebagai pengangkutan harian, termasuk bagi mereka yang kerap berhadapan trafik sesak.

Apa yang menyebabkan timbulnya ilusi saiz besar itu mungkin adalah bahagian hadapan tetapi melalui pengalaman kami, apabila mencelah antara kereta ia tidak begitu berbeza berbanding motosikal saiz biasa. Mungkin juga ini disebabkan pemegang serta bahagian panel belakangnya tidak terlalu lebar. Satu yang pasti, skuter ini adalah agak panjang dan anda perlu berhati-hati apabila mahu menukar lorong dalam kesesakan.

TUNGGANG UJI: Modenas Elegan 250 ABS 2020 – banyak bahagian boleh dipuji, tapi tidaklah sempurna

Sebagai sebuah model yang boleh dikategorikan sebagai skuter maxi, Elegan 250 sepatutnya menawarkan lebih ruang dan juga keselesaan untuk pengguna. Apa yang boleh dikatakan, ia memang cemerlang dalam bab itu dan kami tiada sebarang rungutan mengenainya.

Lihatlah sahaja bentuk tempat duduknya yang gebu itu. Ia siap datang dengan sedikit penyandar untuk penunggang dan apabila kaki terletak atas pelantar manakala tangan atas pemegang, semuanya rasa selesa seperti di atas sofa. Walaupun tidak berpeluang, kami rasakan anda tidak akan cepat rasa penat jika menggunakannya dalam perjalanan jarak jauh.

Untuk bahagian kaki, penunggang boleh meletakkannya dalam keadaan rata atau tegak seperti biasa mahupun melunjur ke hadapan. Kami berpendapat ini adalah satu ciri penting yang perlu ada pada skuter maxi untuk menjamin keselesaan. Sekiranya tiada, seperti Kawasaki J300, ia boleh menimbulkan rasa tidak selesa pada kaki kerana apabila diletakkan rata setelah beberapa ketika, kerana penunggang pasti perlu melunjurkannya untuk sedikit regangan.

Walaupun begitu, masih ada perkara yang boleh dipertingkat pada Elegan 250 ini. Kami rasakan, bagi seorang penunggang yang berketinggian lebih 170 sm, penghadang angin perlu dijadikan lebih tinggi kerana unit asal yang tidak boleh dilaras ini menyebabkan kitaran angin yang mengganggu bagi penunggang.

Ia menghasilkan bunyi bising meskipun kami menggunakan helmet yang bagus. Apabila kami rendahkan kepala dan menyorok di belakang penghadang itu sudah tentu keadaan menjadi lebih baik, tetapi apabila kami meninggikan kepala lebih daripada penghadang angin itu, ia juga menjadi lebih senyap berbanding duduk seperti biasa. Apapun, ini mungkin boleh diperbaiki secara mudah dengan mendapatkan unit aksesori tambahan.

Elegan 250 dikuasakan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 249.1 cc yang mampu menghasilkan kuasa 22.1 hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm. Ia disampaikan kepada roda belakang menggunakan transmisi CVT dan juga sistem tali sawat.

Kelancaran enjin ini perlu diberikan pujian terutamanya jika anda seorang penunggang yang memutar pendikit secara lembut dan santai. Ia bukan sahaja tenang pada kadar rpm rendah, malah juga pertengahan. Sekiranya anda jenis memaksa dan kerap mendesak, barulah gegarannya mulai terasa.

Enjin ini boleh dikerah sehingga kelajuan lebih 130 km/j, dan badan motosikal juga masih lagi stabil, tetapi kami merasakan kelajuan yang selesa adalah di bawah 120 km/j. Rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, berserta tayar Kenda yang diberikan standard juga tidak mempunyai masalah untuk dibawa berhadapan selekoh.

Di hadapan penunggang terdapat panel meter gabungan tolok analog serta skrin LCD di tengah. Bagi tolok analog itu, yang digunakan untuk menunjukkan kelajuan serta tahap rpm, kami rasakan bentuk nombor, serta tanda sukatannya tidak sesuai dan sukar untuk dilihat. Ada kalanya apabila bergerak, kami perlu mengimbas beberapa kali untuk mengetahui tahap yang ditunjukkan oleh jarum. Skrin LCD itu pula memaparkan penunjuk asas seperti minyak, suhu, kuasa bateri serta jarak perjalanan.

Tangki bahan api yang disediakan oleh Elegan 250 mempunyai saiz 12.5 liter dan mengikut penggunaan kami, yang tidak begitu santai dan kerap memulas pendikit secara agresif, ia boleh bertahan sehingga 260 km. Sekiranya anda lebih rileks dan tenang, ia mungkin boleh pergi lebih jauh.

TUNGGANG UJI: Modenas Elegan 250 ABS 2020 – banyak bahagian boleh dipuji, tapi tidaklah sempurna

Pada bahagian kemudahan, Elegan 250 menyediakan ruang simpan yang besar di bawah tempat duduknya. Anda boleh meletakkan satu helmet muka penuh berserta beberapa barangan lain di dalamnya, dan ia juga datang dengan pemegang/penyerap (damper) supaya pengguna tidak perlu menahan apabila membukanya. Walaupun mempunyai kelebihan pada aspek itu, pemegang ini juga menjadi penyebab tempat duduk itu tidak boleh dibuka sehingga tegak 90 darjah.

Selain di bawah tempat duduk, anda juga boleh menggunakan satu lagi ruang barangan yang lebih kecil di bahagian bawah kiri pemegang, dan ia siap datang dengan pengecas USB. Bahagian ini sangat sesuai digunakan untuk mengecas telefon ataupun aksesori kecil yang lain. Ia boleh dibuka dan ditutup menggunakan pemulas kecil, dan sepanjang menggunakan skuter ini, tidak sekali pun ia terbuka sendiri termasuklah apabila motosikal terhentak.

Semasa menguji Elegan 250 ini, kami juga tersedar sistem ABS two channel baru ini bertindak sangat baik untuk mengelakkan roda daripada terkunci apabila brek ditarik kuat. Saja mahu mencuba, kami tarik brek dengan kuat atas jalan bersimen (kering) di dalam lot parkir juga tidak mudah untuk menyebabkan tayar berdecit atau menggelungsur. Ini bermakna fungsinya boleh dipercayai.

Secara keseluruhannya, kami berpuas hati dengan Elegan 250 ABS dan kami tidak nampak kenapa seseorang yang mencari sebuah skuter 250 cc perlu menolaknya. Apatah lagi, harganya jauh lebih murah berbanding pesaing seperti SYM Cruisym 250i yang dijual pada harga sekitar RM19k ataupun Yamaha XMax 250 yang berharga RM22k. Pendapat anda bagaimana?

GALERI: Modenas Elegan 250 ABS 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required