Ramalan awal oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) jumlah TIV bagi tahun 2020 ialah 607,000 unit pada Januari 2020 mencadangkan pertumbuhan yang sederhana berbanding angka yang dicapai pada 2019, iaitu 604,287 unit. Ini tidaklah sukar untuk dicapai.
Namun, penularan wabak Covid-19 memberi kesan besar kepada rancangan itu; menjelang Mei 2020, angka awal berkenaan diubah semula kepada hanya 400,000 unit TIV.
Pengenalan pengecualian SST bagi kenderaan penumpang CBU dan CKD oleh kerajaan pada Jun tahun lalu pula menjadikan MAA yakin dapat memperbaiki angka tersebut kepada 470,000 unit sehingga Disember 2020. Dan, akhirnya, ia berjaya diraih — bahkan melebihi angka itu — dengan TIV direkodkan sebanyak 529,434 unit untuk tahun lalu.
Apapun, pengurangan sebanyak 74,853 unit berbanding tahun sebelumnya bermaksud kebanyakan jenama gagal mencapai semula apa yang diraih pada tahun 2019. Jadi, ini adalah pecahan dan gambaran bagaimana prestasi jenama-jenama utama sepanjang 2020.
Perodua yang mendahului pasaran sejak 2006 kekal di tempat pertama walaupun mecatatkan pengurangan jualan sebanyak 8.4% tahun lalu. Syarikat itu berjaya menjual 220,163 unit pada 2020, iaitu 20,178 unit kurang daripada apa yang dicatatkan pada tahun 2019 dengan 240,341 kenderaan.
Walaupun angka itu tidak mencapai ramalan awal 240,000 unit tahun lalu, ia kemudiannya tetap melepasi sasaran yang diperbaharui kemudiannya iaitu 210,000 unit yang diumumkan pada Ogos 2020. Menarik juga disebutkan, walaupun pasaran menguncup, Perodua berhasil meningkatkan perkongsian pasarannya daripada 39.8% (2019) kepada 41.6% (2020).
Di tempat kedua ialah Proton, yang menunjukkan perkembangan menarik sepanjang tahun 2020. Sejumlah 108,524 unit kenderaan berjaya dijual tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak 8,341 unit berbanding tahun sebelumnya. Walaupun peningkatan 8.3% bukanlah satu lonjakan seperti apa yang dicapai pada 2019 – dengan Proton mencatatkan peningkatan jualan 54.7% berbanding 2018 – membuktikan bahawa pengguna kini kembali memberikan kepercayaan kepadanya.
Proton juga meraih pertumbuhan paling tinggi dari sudut perkongsian pasaran tahun lalu, naik daripada 16.6% kepada 20.5%. Dan, jika mengambil kira syarikat pengeluar kenderaan tempatan ini, kedua-dua Perodua dan Proton menaungi lebih 60% perkongsian pasaran (62.1% setepatnya) untuk 2020, kadar tertinggi sejak tahun 2003.
Honda pula kekal di tangga ketiga dengan angka 60,468 unit, mengatasi Toyota yang mencatatkan angka 58,501 unit. Tetapi jualan Honda berkurangan sebanyak 24,950 unit atau 29.2% berbanding 2019. Jualan Nissan juga jatuh kepada 14,160 unit, kurang 33.3% berbanding tahun sebelumnya.
Jenama yang mencatatkan sedikit peningkatan juga ada, dan ini termasuk Mazda (12,141 unit) dan Mitsubishi (9,163 unit) dengan masing-masing mencatatkan kenaikan 4.2% dan 12.6%. Sementara itu, jenama yang menyaksikan penurunan ketara pula termasuk Subaru (-57.3%), Peugeot (-45.4%) dan Kia (-77.9%). Volkswagen dan Hyundai juga dalam kategori yang sama, dengan penurunan 39.2% dan 37.9% setiap satunya.
Bagi jenama premium, Volvo satu-satunya yang mencatatkan peningkatan. Ia berjaya menjual sebanyak 1,950 unit kenderaan tahun lalu, yang merupakan peningkatan sebanyak 3.6% berbanding 2019. Angka penuh tahunan bagi BMW juga buat pertama kalinya dipaparkan dalam jadual, setelah syarikat itu — serta Mercedes-Benz – berhenti melaporkan angka suku tahunan masing-masing.
Bagaimana keadaannya untuk tahun 2021 ini? Itu menjadi satu hal yang kita perlu sama-sama tunggu dan perhatikan. MAA bagaimanapun optimistik bahawa pasaran akan bertambah baik tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.