Lotus keluarkan Elise dan Exige Final Edition sebagai tanda hormat akhir sebelum pengeluaran dihentikan

Lotus keluarkan Elise dan Exige Final Edition sebagai tanda hormat akhir sebelum pengeluaran dihentikan

Pengeluaran Lotus Elise dan Exige akan diberhentikan hujung tahun ini, dan dengan itu, syarikat dari Hethel, United Kingdom tersebut telah mendedahkan beberapa model Final Edition yang akan dikeluarkan bagi memberi penghormatan akhir kepada model yang masing-masing sudah berada dalam pasaran selama 25 dan 21 tahun itu.

Kesemuanya ada lima varian Final Edition (dua Elise dan tiga Exige) yang akan ditawarkan kepada pelanggan, dengan setiap satunya akan dibuat dalam jumlah yang terhad. Sudah tentu, ini adalah model yang sesuai untuk pengumpul kenderaan, tetapi ada juga di antara model ini yang mendapat penambahan kuasa.

Melihat pertamanya kepada Elise Final Edition, pelanggan boleh mendapatkan kereta ini dalam pelbagai warna termasuk Azure Blue (warna yang digunakan dalam gambar kereta produksi pertama yang diberikan kepada media pada tahun 1996), hitam (warna yang sudah sinonim dengan cabang permotoran Lotus) serta Racing Green (warna asal Elise semasa didedahkan kali pertama pada tahun 1995).

Pilihan varian untuk Elise Final Edition bermula dengan Elise Sport 240, di mana ia menggunakan enjin empat silinder supercharge 1.8 liter 2ZR-FE daripada Toyota, untuk menghasilkan 243 PS (240 hp) pada 7,200 rpm dan 244 Nm tork antara 3,000 hingga 7,000 rpm.

Jika dibandingkan dengan Elise Sport 220 sebelumnya, model baru ini menawarkan 23 PS (23 hp) lebih kuasa, laju maksimum 237 km/j, lebih pantas 0.1 saat dalam membuat pecutan 0-100 km/j (4.5 saat) dan mempunyai nisbah berat kepada kuasa lebih baik (260 hp bagi setiap tan).

Ini bukan sahaja disebabkan oleh kuasa yang lebih tinggi, tetapi juga barangan lain seperti rim aloi forged yang dua kg lebih ringan untuk menjadikan berat keseluruhannya cuma 922 kg. Untuk menjadikan kereta lebih ringan lagi, pemilik boleh mendapatkan panel gentian karbon, bateri lithium ion serta cermin belakang polikarbonat, yang secara keseluruhannya akan menjadikan berat kenderaan menurun menjadi 898 kg.

Di bahagian dalam, Elise Sport 240 mendapat panel instrumen digital TFT dengan dua mod skrin, rekaan roda stereng baru dan dibalut dengan gabungan kain Alcantara serta kulit, serta kemasan dan corak jahitan baru pada tempat duduk.

Pergi kepada Elise Cup 250, enjin sama masih digunakan, tetapi ia menghasilkan lebih kuasa iaitu 248 PS (245 hp) dan 244 Nm. Memang, jumlah itu cuma lebih 2 hp, tetapi fokus sebenar model ini adalah pada aerodinamik, dengan pemasangan splitter hadapan, sayap belakang, diffuser belakang, serta sambungan di bahagian tepi yang secara keseluruhannya memperbaiki daya tolak ke bawah (downforce) menjadi 66 kg pada 161 km/j dan 55 kg pada kelajuan maksimum 248 km/j.

Lotus keluarkan Elise dan Exige Final Edition sebagai tanda hormat akhir sebelum pengeluaran dihentikan

Tetapan yang lebih memberi fokus kepada penggunaan litar ini juga datang dengan rim forged serba ringan M Sport, tayar Yokohama Advan A052, penyerap sport Bilstein, anti-roll bar boleh laras, bateri lithium ion dan cermin belakang polikarbonat. Sama seperti Elise Sport 240, pemilik juga diberikan pilihan barangan gentian karbon yang boleh menurunkan berat menjadi 931 kg.

Melihat kepada Exige, model Final Edition terdiri daripada Exige Sport 390, Exige Sport 420 dan Exige Cup 430, dengan kesemuanya menggunakan enjin V6 3.5 liter 2GR-FE daripada Toyota. Warna ikonik yang ditawarkan adalah termasuk Metallic White (warna yang digunakan semasa Exige V6 pertama kali didedahkan pada tahun 2011) dan Metallic Orange (warna yang digunakan pada kereta media pertama pada tahun 2000 dan Exige GT3 Concept).

Bagi Exige Sport 390, ia menggantikan Exige Sport 350 sebelum ini, dan dipasang dengan supercharger Edelbrock untuk menghasilkan kuasa 402 PS (397 hp) pada 7,000 rpm dan 420 Nm dari 3,000 hingga 6,700 rpm. Ini bersamaan peningkatan 52 hp berbanding model sebelumnya, dan pecutan 0-100 km/j menjadi 3.8 saat (-0.1 saat) dan laju maksimum kini 277 km/j (+3 km/j).

Exige Sport 420 pula adalah satu peningkatan yang dibuat pada model Exige Sport 410. Kuasanya kini bertambah 10 hp dan 7 Nm, menjadi 426 PS (420 hp) dan 427 Nm. Ini juga adalah Exige yang boleh mencatat laju maksimum paling tinggi, iaitu 290 km/j (+16 km/j), tetapi masa pecutan 0-100 km/j masih lagi sama dengan Exige Sport 410, iaitu 3.4 saat.

Kereta sport ini juga mendapat penyerap Nitron boleh laras, anti-roll bar Eibach boleh laras di depan dan belakang, angkup brek empat piston AP Racing, sistem ekzos titanium dan sistem kawalan cengkaman khas yang dibangunkan untuk bersesuaian dengan sukan permotoran.

Model akhir sekali, paling atas adalah Exige Cup 430. Kuasa, masa pecutan serta laju maksimumnya masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu 436 PS (430 hp), 440 Nm, 3.3 saat dan 280 km/j. Ia juga dipasang dengan pelbagai barangan gentian karbon, dan rim forged (bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2) yang membantu menjadikan berat keseluruhannya cuma 1,110 kg.

Exige Cup 430 juga mendapat barangan bahagian pengendalian yang sama seperti Exige Sport 420, tetapi ditambah dengan komponen gentian karbon seperti splitter hadapan, panel akses hadapan, bumbung, keliling diffuser, salur udara, pintu but dan sayap belakang. Ia juga dipasang terus dengan sistem ekzos titanium.

GALERI: Lotus Elise Sport 240 Final Edition

GALERI: Lotus Elise Cup 250 Final Edition

GALERI: Lotus Exige Sport 390 Final Edition

GALERI: Lotus Exige Sport 420 Final Edition

GALERI: Lotus Exige Cup 430 Final Edition

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required