Penulis ingat lagi perasaan bercampur baur antara suka dan tak suka ketika kali pertama berpeluang memandu uji Proton Preve pada tahun 2012 dulu. Enjin 1.6 liter turbo yang digelar sebagai Charge Fuel Efficiency (CFE) pada Preve berkenaan walaupun tidak bertenaga seperti enjin 1.4 TSI Volkswagen, kuasa 138 hp yang dihasilkan adalah hampir sama dengan Honda Civic FD 1.8L, manakala torknya pula adalah lebih tinggi dari Civic FD 2.0L dan memberikan karekter yang agak punchy.

Point yang paling penulis sukai pada Proton Preve berkenaan sudah tentulah pengendaliannya, ketika itu Proton menggunakan sepenuhnya ilmu ‘Ride & handling’ yang diwarisi dari Lotus. Walaupun Preve diberikan tayar GT Radial Champiro dari kilang yang tidak memberikan cengkaman yang memuaskan, sedan ini memberikan dinamik pemanduan yang sangat baik.

Stereng Preve ini memberikan respon yang cukup baik, manakala pergerakan bahagian belakangnya sangat mudah untuk diagak, memberikan keyakinan dan keseronokan setiap kali membelasah selekoh.

Namun, satu perkara yang membuatkan Preve ini betul-betul ‘potong stim’ adalah kotak gear CVT yang dipadankan. Walaupun pada masa itu Proton menggunakan bekas pemandu F1 Jean Alesi yang ketika itu merupakan duta untuk Lotus bagi menyakinkan pengguna bahawa kotak gear tersebut sangat lancar serta memberikan ‘engine braking’ yang bagus, ia tidak berkesan kepada penulis.

Talaan yang diberikan pada kotak gear berkenaan seakan serba tidak kena. Ia menyebabkan enjin CFE tersebut meraung tidak tentu pasal ketika dikerah sepenuhnya, serta menghasilkan bunyi berdengung seakan kapal terbang mahu berlepas. Ketika itu penulis ada terfikir, sekiranya Proton ada menghasilkan Preve CFE ini dengan kotak gear manual, sudah tentu wujud perasaan jiwa kacau untuk membeli model berkenaan.

Nah, sekarang Preve 1.6 CFE berwarna hijau gelap yang anda lihat ini mungkin Preve yang didambakan oleh ramai pemilik atau orang yang pernah memandu sedan segmen-C Proton ini, kerana transmisi CVT asalnya telah ditukar kepada kotak gear manual lima-kelajuan!

Proton Preve ini milik Syamil Hisham dari Kuala Lumpur dan ia dibeli baharu sekitar lapan tahun lalu. Syamil yang juga sangat berminat dengan kereta, mengubahsuai Preve dari masa ke masa secara perlahan-lahan. Namun setelah berberapa kali berhadapan dengan masalah transmisi, akhirnya projek ‘mega’ untuk menukar kotak gear CVT kepada manual ini telah bermula sekitar tiga tahun lalu.

Kenapa tak tukar je terus seketul enjin dan kotak gear dari halfcut Mitsubishi Lancer Evolution seperti kebanyakkan pemilik Preve yang lain? Menurut Syamil, dia bersetuju dengan apa yang penulis katakan bahawa Preve sudah pun diberikan enjin serta dinamik yang cukup baik dari kilang.

Jadi sekiranya dia terus menyalin enjin dan kotak gear Evo yang sememangnya lebih berat, ia sudah tentu menyebabkan agihan berat sudah lagi tidak betul dan menghilangkan kestabilan, dinamik dan karekter pengendalian asal Preve berkenaan. Jadi jalan terbaik untuk menjadikan Preve ini lebih sedap dipandu dalam masa yang sama lebih mudah untuk dijaga adalah menerusi penukaran kotak gear manual.

Namun projek untuk menukar transmisi ini bukan semudah yang penulis dan anda semua jangka. Pertama sekali, untuk mendapatkan kotak gear – Preve bukanlah kereta JDM yang mudah untuk anda jumpa dalam kondisi halfcut. Jadi untuk mendapat kotak gear manual dari Preve 1.6 IAFM (model yang dihasilkan tanpa turbo oleh Proton) juga adalah satu perkara yang sukar.

Jadi Syamil mengambil keputusan untuk menggunakan kotak gear dari Satria Neo bersama set pedal brek dan klac, manakala kit penukar gear pula diubahsuai dari Mitsubishi Lancer Evo. Tapi, walaupun enjin CFE ini adalah versi turbo untuk enjin Campro berasaskan blok Proton S4PH, kotak gear manual tersebut tidak boleh dipadankan secara plug & play sepenuhnya.

Menurut Syamil, hanya tiga lubang bolt yang sama antara kotak gear Satria Neo tersebut dengan enjin CFE Preve. Jadi berberapa pengubahsuaian perlu dilakukan bagi memastikan kedua-dua komponen utama berkenaan bersatu. Flywheel asal pada enjin CFE berkenaan masih digunakan, tetapi sedikit pengubahsuaian perlu dilakukan bagi membolehkan ia dikahwinkan dengan set klac dari Satria Neo.

Selesai hal kotak gear, hal sistem pendawaian dan pengurusan enjin pula perlu diselesaikan. Seperti enjin-enjin moden yang lain, Preve menggunakan sistem pendawaian multiplexing di mana setiap kotak komputer dalam badan kereta berkenaan berkongsi penderia untuk pelbagai sistem. Jadi sekiranya isyarat dari kotak gear CVT tersebut sudah lagi tidak dihantar kepada kotak komputer enjin, ia tidak lagi boleh berfungsi dengan sempurna.

Oleh itu, Syamil telah merojakkan sistem pengurusan enjin berkenaan. Sistem drive-by-wire IAFM asal dari Proton sudah tidak digunakan. Enjin tersebut sekarang berfungsi dengan throttle body menggunakan kabel bersama pedal pendikit yang diambil dari enjin Nissan SR16. Kotak komputer asal masih lagi ada bagi memastikan sistem elektrikal badan yang lain masih lagi berfungsi, tetapi sistem pengurusan enjin telah diambil alih oleh kotak komputer jenis stand alone, MaxxEcu Mini dari Sweden.

Segala isi perut enjin ini masih lagi tidak diusik, di mana hanya proses top overhaul dibuat ketika pembedahan ini dijalankan, begitu juga dengan pengecas turbo yang masih dikekalkan dengan komponen dari kilang dengan tekanan boost standard. Kemudian sistem induksi juga dikemaskini menggunakan kit dari Works Engineering terdiri dari ‘pengaut’ dan juga kotak udara gentian karbon bersama penuras udara Simota di bawahnya, serta paip aliran udara aluminium dengan laluan lebih pendek ke pemampat turbo. Sistem penyalaan turut dipertingkat dengan penggunaan coil yang diambil dari enjin K20 Honda.

Sistem ekzos pula diubahsuai ringkas menampilkan paip terus 2.7-inci tanpa muffler, diakhiri dengan paip custom yang berpisah di belakang yang dilengkapkan bersama tip ekzos gentian karbon Akrapovic 4-inci. Oh ya, talaan yang dibuat pada kotak komputer turut menghasilkan bunyi pop & bang serta mengeluarkan api pada muncung ekzos berkenaan ketika pedal pendikit diangkat.

Dengan kemaskini yang dibuat pada enjin berkenaan, ia telah menghasilkan kuasa tambahan yang selamat digunakan sehingga 160 hp di atas mesin dyno, atau sekitar 16% lebih berkuasa dari sebelum ini.

Dah selesai masalah? Belum lagi tuan-tuan. Disebabkan kotak gear manual dari Satria Neo telah digunakan, driveshaft yang memacu roda hadapan asal Preve sudah lagi tidak boleh digunakan kerana ‘gigi’ pada slot unit differential dalam kotak gear tersebut sudah tidak sama.

Jadi Syamil perlu menghasilkan sepasang driveshaft custom dan perlu melakukan proses Research & Destroy untuk mencari material yang paling sesuai. Ya betul, bukan development tapi destroy kerana berberapa pasang driveshaft telah pun putus dalam proses ini kerana tidak tahan dengan tork yang dihasilkan enjin CFE berkenaan.

Buat masa sekarang, Syamil menggunakan driveshaft yang diperbuat dari besi karbon dan masih okey. Kalau putus lagi, dia bercadang untuk menghasilkan driveshaft dari material chromoly pula.

Dengan kuasa yang meningkat, ‘kuda-kuda’ Preve ini turut diperkuatkan oleh Syamil agar ia kekal seimbang dan boleh menerima desakan tambahan ketika meredah selekoh. Untuk itu kesemua set suspensi asal telah ditukar menggunakan suspensi jenama tempatan yang benar-benar faham akan keadaan jalan raya di negara kita, FTuned Suspension.

Syamil tidak memilih set dari siri tertinggi FTuned GT Series, sebaliknya hanya memadankan set FTuned S Series kerana dua faktor; pertama S Series sebenarnya sudah cukup untuk memberikan pengendalian yang sporty seimbang dengan keselesaan bagi kegunaan harian. Dan yang kedua kerana S Series ini dijual pada harga yang cukup mampu milik.

Kombo set pengendalian berkenaan dilengkapkan dengan set rim Fifteen52 Tarmac (juga popular digelar Fifteen52 Ken Block) berdiameter 17-inci, bersama balutan tayar prestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 215/40ZR17. Manakala untuk brek, sistem asal Preve masih diberi kepercayaan di mana Syamil hanya menukar cakera hadapan TRW yang sudahpun sedia ditebuk dan dilarik.

Untuk rupa luaran, Syamil menggabungkan pelbagai idea bagi memberikan rupa yang unik pada keretanya dan tak sama dengan Preve lain di atas jalan raya. Bampar hadapan masih lagi kekal namun ia diberikan tambahan spiltter udara pada setiap sisi, dan juga spoiler bawah bampar dengan rekaan sama seperti Proton Preve paling laju di litar Sepang iaitu Preve pasukan Proton R3, juara perlumbaan Sepang 1000KM 2014.

Corong aluminium yang disumbat pada perumah lampu kabus sebelah kiri bampar Preve ini pula sebenarnya mengalirkan udara yang lebih banyak kepada unit intercooler standard yang terletak di belakangnya. Manakala diffuser yang cukup agresif pada bampar belakang pula adalah produk keluaran Varis yang sebenarnya direka untuk Subaru Impreza WRX STI GDB.

Bahagian belakang kereta ini turut dilengkapkan dengan spoiler ekor itik custom yang sememangnya dihasilkan untuk Preve. Bagi menyempurnakan kemasan akhir rupa luarannya, Preve milik Syamil ini diberikan warna perlumbaan rasmi Britain iaitu British Racing Green. Tak berdosa rasanya warna tersebut diberikan kerana DNA Lotus yang begitu pekat ada pada Proton Preve.

Pada bahagian dalaman pula, tempat penumpang hadapan diganti dengan kerusi Bride Cuga, manakala pemandu duduk di dalam tempat duduk bucket penuh Bride Low Max. Untuk sensasi pemanduan yang lebih omphh, roda setereng asal telah diganti dengan roda stereng rata di bawah dan dibalut alcantara OMP Superquadro 13-inci.

Syamil turut memadankan panel meter digital OBD2 Magician yang memberikan bacaan seperti rpm enjin, kelajuan kereta, voltan bateri, suhu enjin dan juga boost turbo. Selain memaparkan maklumat dengan cara yang lebih cantik, meter digital ini juga berfungsi untuk menyorokkan meter rpm asal di belakangnya yang kini penuh dengan lampu-lampu amaran yang menyakitkan mata dan hati kerana kotak komputer enjin serta transmisi asal kini sudah tidak lagi berfungsi.

Perincian lain yang dikemaskini pada bahagian dalaman Preve ini termasuk panel kemasan plastik pada papan pemuka yang telah balut dengan elemen gentian karbon serta penggunaan tombol gear Ralliart.

Jadi untuk pemilik-pemilik Preve di luar sana atau yang merancang nak beli Preve CFE memandangkan harganya agak menarik dalam pasaran kereta terpakai sekarang, dah dapat pedoman bagaimana nak convert kotak gear CVT kepada manual dari Preve Syamil ini sekarang?