Selepas melancarkan program kereta terpakai, Volvo Selekt pada Jun 2020, pengeluar kereta premium dari Sweden kini memperkenalkan Volvo Used Car Locator, satu inisiatif digital baharu yang memberikan pelanggan cara mudah untuk membeli kereta Volvo pada harga yang memenuhi keperluan kewangan mereka, semuanya boleh dilakukan dalam talian dan dengan selesa di kediaman mereka.
Volvo Used Car Locator mengendalikan inventori kedua-dua kereta Volvo Selekt dan kereta terpakai Volvo berkualiti yang lain. Model Volvo Selekt hanya boleh didapati di Sisma Auto di Glenmarie, Selangor dan iRoll Auto di Juru, Pulau Pinang, sementara itu semua kereta terpakai Volvo berkualiti boleh didapati daripada 12 pengedar di seluruh negara.
Kereta Volvo Selekt dijamin berusia di bawah lima tahun dengan jarak perbatuan tidak melebihi dari 100,000km, dan telah menjalani pemeriksaan sebanyak 125 mata. Bagi memberikan permulaan baharu kepada pemilik kenderaan Volvo Selekt, setiap kereta dilengkapi dengan jaminan minimum sehingga 12 bulan, pakej perkhidmatan penyelenggaraan percuma untuk tempoh satu tahun (VSA 1) dan Bantuan Tepi Jalan selama 12 bulan.
Menurut Volvo Car Malaysia (VCM), Volvo Selekt telah menyumbang 15% kepada jumlah penjualan kereta terpakai Volvo pada tahun 2020 untuk pasaran di Malaysia. Melalui program ini, Volvo memastikan bahawa setiap pelanggan memperolehi pengalaman membeli yang terbaik melalui perkhidmatan khusus dan dengan jaminan kualiti.
“Sambutan positif yang kami terima untuk Volvo Selekt telah mendorong kami untuk memberikan lebih banyak pilihan alternatif kepada pelanggan bagi membeli kereta terpakai Volvo di samping mengekalkan semua kriteria keunggulan, kebolehpercayaan dan prestasi yang diharapkan dari kereta mewah yang premium.
“Selaras dengan langkah kami untuk lebih celik teknologi, kami kini memperkenalkan Volvo Used Car Locator, untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dalam memperolehi dan memiliki kereta Volvo, semuanya mudah dengan hanya menggunakan telefon pintar atau komputer riba mereka. Inisiatif ini hadir tepat pada waktunya ketika kita terus mengutamakan keselamatan dan kesihatan kita, dan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial,” ujar Nalin Jain, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.
Menerusi Volvo Car Used Locator, pelanggan boleh melihat senarai penuh kereta sama ada Volvo Selekt atau kereta terpakai Volvo berkualiti yang terdapat di semua pengedar Volvo di seluruh Malaysia. Laman web ini juga menyediakan perincian penuh mengenai kereta supaya pelanggan boleh mengenalpasti kereta Volvo yang bersesuaian dengan gaya hidup dan lokasi terdekat mereka.
“Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat merasai sendiri ciri-ciri perintis keselamatan dan inovasi yang tereka bentuk dalam setiap kereta ini, menjadikannya antara pilihan paling selamat di pasaran,” sambung Nalin.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.